Malaysia Dateline

Ahli Parlimen PN jamu selera RM10,000 sehari, dakwa MP Batu

Ahli Parlimen Perikatan Nasional didakwa menyalahguna peruntukan kerajaan dengan menggunakan dana dari kementerian dan Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengadakan jamuan sesama mereka.

Ia selepas tersebarnya satu gambar sesi jamuan blok kerajaan yang dilihat turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran berkata, jadual yang diperolehinya dari bilik Ketua Whip itu, memaparkan senarai lengkap kementerian yang akan menaja makanan bagi tarikh-tarikh sepanjang sidang Dewan Rakyat berjalan bermula 13 Julai lalu sehingga 27 Ogos ini.

Beliau mendesak agar kerajaan segera menjelaskan sama ada senarai tersebut adalah benar dan dari mana mereka peroleh wang bagi mengadakan jamuan yang dipercayai menelan belanja kira-kira RM10,000 sehari.

“Saya mohon penjelasan. Peruntukan yang digunakan Kementerian dan GLC sebenarnya duit siapa. Satu hari sekitar RM10,000. Jika 27 hari, RM270,000.

“Rakyat makan ubi kentang, mereka pula makan udang galah. Kita dapat khabar, Menteri siap bungkus makanan untuk bawa balik rumah.

“Saya ingin bertanya kepada ketua Whip, apa kepentingan jamuan makanan setiap hari dengan menggunakan peruntukan GLC dan kerajaan?,” soalnya ketika sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Prabakaran berkata, antara syarikat dan Kementerian yang akan mengeluarkan duit untuk sesi jamuan setiap hari itu termasuklah dari Tenaga Nasional Berhad (TNB); UDA Holdings Berhad (UDA); Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA); Menteri Perpaduan, Menteri Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Pertahanan; dan Kementerian Kewangan.

Prabakaran turut membacakan resit harga makanan yang menjadi hidangan ahli-ahli Parlimen kerajaan membabitkan harga makanan seperti udang galah yang melebihi RM2,700, dan ketam RM1,900.

“Kita ada kafe di Parlimen. Kenapa nak ada ‘special treatment’. Rakyat pula dipinggirkan. Adakah ini cara mereka membela rakyat.

“Saya minta peneroka Felda datang 25 Ogos ini, datang makan sama-sama dengan MP kerajaan yang guna peruntukan anda untuk makan udang galah,” katanya.