Malaysia Dateline

Ahli Parlimen Temerloh meraikan 60 sukarelawan APM, AIM

Seramai 60 sukarelawan yang terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) diraikan dalam Majlis Apresiasi yang dianjurkan Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia (ARiF) dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh serta Yayasan Pembangunan Ummah (YPU).

Mereka diraikan atas sumbangan besar selama ini dalam membantu melaksanakan kerja bantuan semasa bencana khususnya setiap kali berlakunya banjir di kawasan Temerloh.

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir yang juga Ahli Parlimen Temerloh menyampaikan sijil penghargaan kepada sukarelawan terbabit bertempat di sebuah hotel di Temerloh.

 

60 sukarelawan yang terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) diraikan dalam Majlis Apresiasi

“Majlis ini bertujuan untuk menghargai sumbangan khidmat bakti kerja-kerja kesukarelawan para sukarelawan APM dan sukarelawan AIM di kawasan parlimen Temerloh.

“Adalah diharapkan pengalaman, pengetahuan dan kemahiran para sukarelawan ini dalam aspek keselamatan dan pertahanan awam akan dapat memberi manfaat kepada orang awam dan masyarakat setempat.

“Menjadi hasrat penganjur untuk meneruskan penganjuran Majlis Apresiasi sukarelawan ini untuk tahun-tahun akan datang dengan melibatkan lebih banyak institusi-institusi lain seperti Persatuan bulan sabit merah malaysia (PBSM) dan jabatan sukarelawan malaysia (RELA),” katanya.