Malaysia Dateline

Ahli Parlimen tolak belanjawan kebajikan percubaan jahat

Kesemua 28 Ahli Parlimen BN dan Pas yang cuba mengagalkan belanjawan untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dianggap satu percubaan jahat.

Ahli Dewan Negara, Senator Aiman Athirah Al-Jundi berkata, sikap mereka yang menolak belanjawan melibatkan peruntukan kebajikan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak jelas berorientasikan kepentingan politik parti dan peribadi.

“Ia suatu yang tidak wajar berlaku dan hanya menzahirkan kualiti minda dan hati budi kepimpinan yang tiada kelas.

“Saya sering menekankan bahawa seseorang Ahli Parlimen, sama ada mewakili Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara, ketika mana mereka memasuki Dewan yang mulia adalah sangat penting untuk meninggalkan pakaian dan logo politik masing-masing.

“Seharusnya, melangkah ke dalam dan berdiri untuk bicarakan sahaja kepentingan-kepentingan rakyat serta negara.

“Bukan sebaliknya terus menjadikan Dewan yang mulia sebagai “kandang” saling bergomolan antara najis dengan makanan,” bidas Setiausaha Kehormat Majlis Senator Malaysia itu.

Athirah menyifatkan setiap saat yang berdetik, semua dibayar untuk menjalankan tugas sebaiknya mewakili rakyat tanpa kira beza parti dan ideologi.

“Jika bukan sebagai Negarawan (di Dewan Negara), maka jadilah Wakil Rakyat bertanggungjawab (di Dewan Rakyat),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Penolong Setiausaha AMANAH Nasional itu berpendapat belanjawan tahunan negara seperti Belanjawan 2020, adalah hal yang sangat penting untuk rakyat kebanyakan.

Apatah lagi, katanya, jika ia sangat terkait dengan soal kebajikan ditambah pula keperluan kelompok lemah dan sangat memerlukan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mempolitikkan hal berkaitan belanjawan kebajikan jelas suatu tindakan yang wajar mendapat kecaman menyeluruh daripada watan bahkan warga dunia seluruhnya.

Dalam masa sama, Athirah juga sedih apabila terhadap beberapa Ahli Parlimen wanita yang hadir tetapi mengambil sikap berkecuali dan juga tidak hadir pada masa belanjawan berkaitan kementerian tersebut dijangka untuk diundi.

“Di seluruh dunia, pemimpin-pemimpin dan pejuang-pejuang politik wanita membicarakan akan keperluan mempunyai perwakilan wanita di dalam Parlimen khususnya.

“Kita juga membicarakan apa penting mereka itu dihantar, dipilih dan diperjuangkan untuk berada di dalamnya. Antaranya, adalah kerana suara dan undi mereka diperlukan,” ujarnya.

Mengulas senarai 28 Ahli Parlimen yang menolak belanjawan tersebut semasa undian kali pertama dijalankan hari ini, beliau berkata, semua Ahli Parlimen perlu lebih peduli

Justeru, teramat sedih dan malang, ketika saya mengamati senarai-senarai yang bersetuju, tidak bersetuju, berkecuali dan tidak hadir;

“Saya telah menemukan beberapa nama yang saya yakin dan percaya wajib untuk jauh lebih peka dan prihatin terhadap Belanjawan Kebajikan ini.

“Sama ada ia sikap kecuaian, ambil ringan, suka memberi pelbagai alasan atau sebut apa sahaja yang sememangnya tidak wajar, saya berharap mereka segera sedar dan ambil sikap memperbetulkannya pada masa hadapan,” tegasnya lagi.