Malaysia Dateline

Ahli Parlimen wajib tolak Ahmad Maslan sebagai timbalan speaker

DAP mengingatkan ahli parlimen dari Bersatu agar tidak lupa dengan janji pemimpin mereka iaitu Tan Sri Mahiaddin Md Yassin untuk tidak meletakkan mana-mana kluster mahkamah kembali berkuasa.

Oleh itu, Timbalan Ketua Pemuda DAP, Howard Lee berkata, amat memalukan untuk beliau dan Ahli-ahli Parlimen dari Bersatu untuk mengundi Ahmad Maslan sebagai calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Jangan kita lupa, ikrar pada jam-jam akhir Muhyiddin Yassin adalah untuk tidak akan bekerjasama dan menyokong individu terkait dengan ‘kluster mahkamah’,” kata beliau dalam satu kenyataannya malam tadi.

Katanya, Ahli Parlimen Pontian itu, yang cukup dikenali dengan pelbagai keletah, telahpun didakwa di mahkamah kerana memberikan maklumat palsu kepada SPRM.

Beliau turut didakwa bersabit tuduhan AMLA selepas menerima sebanyak RM2 juta daripada Najib Razak. Beliau bakal menjalani perbicaraan di mahkamah mulai 7 Jun 2022.

Oleh itu, katanya, adalah lebih baik segala kudrat, masa dan tenaga beliau ditumpukan untuk menjawab pertuduhan tersebut kelak.

Atas sebab tersebut, adalah lebih baik untuk beliau tidak dipertanggungjawabkan dengan bebanan tugas sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Martabat, integriti dan reputasi Dewan Rakyat sebagai asas kepada sistem demokrasi kita tidak boleh dikotori dan dicemari apabila kerusi penting tersebut diduduki oleh seseorang yang masih belum dibersihkan oleh mahkamah.

“Saya memohon agar kesemua 220 Ahli-ahli Parlimen untuk mengundi berdasarkan hati nurani masing-masing.

“Saya turut menggesa supaya Ahli-ahli Parlimen untuk tidak mengundi mana-mana pemimpin ‘kluster mahkamah’ kerana ia akan menambah kerosakan yang telah sedia berlaku sekarang di bawah pimpinan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Kita tidak boleh membiarkan pimpinan yang tidak bersih untuk mencalarkan nama baik institusi tersebut,” katanya.

Semalam Ahmad Maslan mengemukakan 20 cadangan transformasi parlimen sekiranya dia dipilih menduduki jawatan berkenaan minggu depan.

Ahmad merupakan setiausaha agung Umno dan menjadi calon tunggal daripada pihak kerajaan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

Cadangan Ahmad hadir sehari selepas seorang lagi calon timbalan speaker – mewakili Pakatan Harapan (PH) – Nga Kor Ming mengemukakan 10 tawaran pembaharuan parlimen jika dia dipilih.