Ahli AMANAH Sarawak diseru jaga parti sebaiknya

Ahli AMANAH Sarawak diseru jaga parti sebaiknya

Ahli-ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sarawak diseru untuk menjaga nama parti dengan sebaik-baiknya sekali gus mampu membawa cabaran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 nanti.

Menurut Pengerusi AMANAH Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi, sejarah penubuhan parti AMANAH di Sarawak amat mencabar apatah lagi dikekang dengan sumber kewangan khususnya ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 2016

Oleh demikian, katanya kepada barisan Ahli Jawatankuasa AMANAH Negeri Sarawak bagi 2019-2022 yang baru nanti akan terus menjalankan tugas dengan lebih kuat lagi.

“Saya berharap agar barisan pimpinan negeri yang baru nanti, akan melakukan tugas yang lebih baik lebih-lebih lagi untuk menghadapi PRN12 kelak.

“Tetapi untuk ke arah itu, saya memohon dan berharap agar ahli-ahli parti memupuk satu semangat dalam diri sendiri agar menjaga parti ini dengan penuh kasih sayang.

“Ini kerana, kita tidak mahu melibat parti ini dibayangi sebagai tempat untuk mencari lubuk kepentingan peribadi semata-mata,” ujar beliau.

Mohamad Fidzuan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvensyen Ke-4 Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak di sebuah hotel terkemuka di Sibu hari ini.

Seramai lebih 100 perwakilan dan pemerhati dari 13 Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sarawak hadir pada konvensyen kali ini.

Turut hadir Naib Pengerusi Parti AMANAH Nasional, Datuk Dr Hasan Bahrom, Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sarawak, Fadillah Sabali dan Ketua Awan AMANAH Negeri Sarawak, Nurzaiti Hamdan.

Pada masa sama, beliau turut meniupkan semangat kepada seluruh perwakilan dan pemerhati yang hadir untuk bekerjasama dengan lebih erat dalam memburu kemenangan pada pilihan raya nanti.

“Di Sarawak kita ‘berperang’ dalam masa lima tahun sebanyak dua kali iaitu PRN dan Parlimen.

“Sehubungan itu, bermula pada hari ini bersama-samalah kita menanam azam untuk berjuang memastikan parti AMANAH Sarawak akan berjaya meraih kemenangan kelak,” jelas beliau lagi.