Ahli parti komponen BN dihalang masuk parti komponen PH

Ahli parti komponen BN dihalang masuk parti komponen PH

Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan ahli parti komponen BN tidak boleh diterima masuk ke dalam mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Mereka bagaimanapun disaran menjadi ahli bebas dan boleh menyokong Pakatan Harapan sebagai ahli bebas.

Pengumuman dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamed pada mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung di Ibu Pejabat PPBM di Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng dan presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Semalam Tun Mahathir yang juga perdana menteri berkata, PH tidak akan menerima ahli daripada parti yang kalah dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau berkata ramai ahli politik daripada parti kerajaan sebelum ini berminat untuk menyertai PH.

“Kita dapati rakyat tidak boleh terima mereka. Sebab itu, mereka tidak harus diterima untuk menjadi ahli.

“Mereka boleh mengisytihar keluar parti umpama Umno dan menyatakan sokongan kepada kerajaan tetapi (mereka) tidak boleh menjadi ahli dalam parti kerajaan (PH),” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Dr Mahathir berkata rakyat tidak mahu ahli politik kerajaan lama mempengaruhi kerajaan baharu.

“Rakyat tidak pandang baik terhadap ahli politik daripada kerajaan sebelum ini untuk menyertai PH kerana tidak mahu kerajaan baharu ini nampak seperti kerajaan lama. Oleh itu, penyertaan mereka tidak boleh diterima,” katanya.

Ketua penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Kamaruddin Md Noor kelmarin berkata, parti itu menerima permohonan kemasukan baharu setiap hari termasuk pemimpin dan anggota Umno dari seluruh daerah di Kelantan.

Namun begitu, Kamaruddin berkata semua permohonan baharu bagi menyertai parti itu akan dibawa ke mesyuarat anggota majlis tertinggi Bersatu dalam masa terdekat.

Pada 14 Mei di Perak, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharuddin serta empat pemimpin lain antara 200 anggota Umno yang mengisytiharkan keluar Umno dan menyertai Bersatu.

5.7
OVERALL SCORE
: 7.0
2 user votes x 5.0
CATEGORIES
TAGS