Malaysia Dateline

Ahli PBB yang masuk PBB di Batang Sadong, kata PKR

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batang Sadong menafikan sekeras-kerasnya seramai 19 ahlinya telah keluar parti baru-baru ini.

Ketua Cabang PKR Batang Sadong, Piee Ling berkata, sebaliknya yang berlaku ialah semua ahli terbabit adalah sebenarnya ahli Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yang cuba membuat persepsi bahawa PKR telah lumpuh di kawasan berkenaan.

“Saya telah dimaklumkan kononnya seramai 19 ahli PKR di Kampung Rangawan, Sadong Jaya telah keluar parti dan menyertai PBB/GPS.

“Satu majlis penerimaan keahlian 19 ahli tersebut telah dihadiri sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris pada 27 Julai lalu di kediaman Abdul Kadir Arifin yang mendakwa sebagai Ketua Cabang PKR Kampung Rangawan.

“Setelah mengenalpasti muka-muka yang mendakwa keluar parti itu, didapati cuma seorang sahaja adalah ahli berdaftar Parti Keadilan Rakyat, Cabang Batang Sadong.

“Ahli tersebut dengan nombor pendaftaran Q0900000870 menyertai Keadilan pada 26.6.2018 selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Persekutuab dan sebelum itu beliau adalah penyokong PBB/BN,” tegasnya ketika ditemui hari ini.

Manakala, jelas Piee lagi Abdul Kadir Arifin yang mendakwa sebagai Ketua Cabang PKR Kampung Rangawan tidak pernah menjadi ahli PKR sebelum ini.

Tambahnya, tiada rekod bahawa penama tersebut pernah menjadi ahli dan jawatan yang didakwa disandang pun tidak wujud dalam struktur parti.

“Abdul Kadir merupakan penyokong PBB/BN ketika saya bertanding PRN 2006 dan PRU 2008 dahulu.

“Setelah meneliti komen-komen di akaun FB milik Awla Dris, ternyata salah seorang daripada 19 orang tersebut mengaku ahli PBB sejak sekian lama.

“Justeru, adalah dipercayai mereka ini adalah ahli atau penyokong PBB ketika era BN dan apabila kepimpinan PBB di cawangan bertukar, maka mereka telah terpinggir.

“Drama yang dicipta oleh ahli-ahli PBB ini seolah-olah mahu menunjukkan bahawa ahli PKR telah berpaling tadah, tetapi sebaliknya ialah mereka hanya memalukan diri dan segala lakonan mereka jelas tidak menjadi,” tambah beliau.