Malaysia Dateline

Ahli, pimpinan AMANAH saling mengukuh bukan meruntuh

Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) 2019 melabuhkan tirai secara rasminya pada Ahad, 10 Disember lalu.

Kita menyaksikan kepimpinan tertinggi nasional yang lepas dikekalkan dengan semangat muafakat dan suasana harmoni yang dikatakan hanya mengambil masa 5 minit untuk barisan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional yang terpilih membuat keputusan.

Sebelum itu suasana muafakat juga telah ditunjukkan oleh sayap-sayap nasional AMANAH iaitu Pemuda AMANAH Nasional dan Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Nasional serta Wanita Muda Amanah (WARDA) Nasional dalam memilih barisan kepimpinan sayap.

Sebelum ini dikatakan wujudnya kem-kem pasukan dengan pelbagai tanda pagar (hashtag) dan slogan kata (tagline). Namun, akhirnya para perwakilan membuat pilihan bijak apabila memilih secara seimbang antara kem-kem ini bagi diangkat menerajui sayap parti.

Paling ketara boleh dilihat dalam sayap Pemuda AMANAH Nasional. Tinggal lagi bagaimana para pimpinan ini mengemudi setiap pasukan dengan agenda penyatuan untuk bergerak dalam satu pasukan yang berjaya dan progresif.

Jika dilihat secara keseluruhannya, kepimpinan AMANAH Nasional sama ada pimpinan tertinggi mahupun sayap, majoritinya adalah kalangan wajah-wajah lama yang bersama-sama membina parti ini pada awal penubuhannya.

Hanya sebahagian kecil wajah baru yang diangkat sebagai pimpinan yang sebelum ini hanya memimpin di peringkat negeri dan kawasan. Besar harapan ahli di akar umbi untuk melihat perubahan besar dalam memacu AMANAH ke arah lebih berjaya dan benar-benar menjadi parti berteraskan Islam yang mampu memimpin ummah.

Satu perkara yang tidak boleh dinafikan dan dilihat mudah adalah pengorbanan ahli di semua peringkat yang turut sama-sama membina dan menjayakan parti ini sehingga berada di satu kedudukan yang baik hari ini.

Dalam konvensyen tahun lalu, boleh disaksikan pengorbanan para perwakilan dan pemerhati yang hadir dari seluruh Malaysia dengan pelbagai cara demi satu matlamat iaitu untuk sama-sama hadir menjayakan konvensyen nasional.

Ada kalangan perwakilan daripada kalangan pemuda sanggup mengambil cuti bekerja bahkan ada yang bercuti tanpa gaji untuk menghadiri konvensyen penuda yang diadakan di tengah minggu dan disambung terus ke konvensyen nasional.

Tidak kurang pula, ramai yang mengeluarkan wang poket sendiri untuk berbelanja perjalanan pergi dan pulang tanpa berkira sedikit pun demi AMANAH.

Inilah satu kelebihan ahli AMANAH yang tidak semua parti lain ada. Kesungguhan ahlinya tidak pernah berkira daripada segi sumbangan tenaga dan masa.

Walau banyak yang perlu dikorbankan dan suatu perkara yang perlu diakui, kebanyakan mereka ini adalah dari kalangan ahli yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Barangkali mereka sedar yang mereka ini tidak punya banyak harta untuk disumbangkan jadi mereka hanya mampu menyumbang dalam bentuk yang lain dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati.

Beban kewangan

Dalam tidak sedar, ada juga kalangan pimpinan yang diangkat di peringkat nasional sama ada sayap mahupun pimpinan tertinggi juga adalah daripada kalangan yang berpendapatan sederhana dan kecil.

Pada hari pertama konvensyen boleh dilihat ramai yang memenuhi kerusi di tempat duduk dalam dan luar. Walau bagaimanapun, ketara perbezaan dilihat pada hari ketiga iaitu hari terakhir dengan pengurangan besar berlaku sehingga kerusi-kerusi di kawasan pemerhati hampir kosong sepenuhnya.

Antara keluhan yang dinyatakan oleh para pemerhati yang hadir ialah mereka bergerak sendiri dengan kos yang dikeluarkan sendiri, jadi apabila program yang berlangsung sehingga tiga hari mereka berasa sedikit beban kewangan.

Sedikit pun, mereka ini tidak berkira dengan wang saku untuk AMANAH. Hal “berkira” juga tidak timbul, soal hierarki kepartian sama ada dari atas ke bawah mahupun dari bawah ke atas.

Ada kalanya peringkat bawahan seperti kawasan perlu membantu nasional seperti yang ditunjukkan dalam konvensyen apabila speaker mengumumkan komitmen dan aku janji AMANAH kawasan-kawasan untuk menyumbang sehingga puluhan ribu untuk AMANAH Nasional.

Begitu juga sesetengah tempat di peringkat bawahan pula perlu dibantu oleh AMANAH Nasional daripada sudut kewangan terutama di negeri dan kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang.

Hal yang sama juga berlaku pada individu-individu dalam AMANAH ini sendiri. Ada individu yang tanpa sebarang masalah mampu menyumbang kewangan dengan jumlah yang besar bukan sahaja ribuan malahan ratusan ribu ringgit untuk parti.

Begitu jugalah sebaliknya, ada individu dalam parti memerlukan bantuan kewangan dari parti pula untuk bergerak kesana kesini menjalankan kerja-kerja pemerkasaan parti.

Sepatutnya, tidak timbul isu ahli kawasan yang menjadi pimpinan di peringkat nasional tidak boleh dibantu dengan kewangan kawasan untuk bergerak di nasional.

Sudah pasti dia turut membawa nama kawasan mahupun negeri dalam setiap gerak kerjanya di nasional kerana tidak ada pimpinan di nasional ini yang tiada kawasan keahliannya kerana itu merupakan syarat wajib keahlian AMANAH, berdaftar dengan kawasan yang sah.

Jangan dipersoal komitmen ahli dan pimpinan dengan berkira-kira soal kewangan kalau diri kita yang diamanahkan tidak mampu melakukan perkara yang sama.

AMANAH ini mujur sahaja dipenuhi dengan orang-orang yang baik dan berhati mulia. Ahli AMANAH rata-rata tidak berkira dalam banyak hal. Ahli bawahan perlu menyokong pimpinan atasan dan pimpinan atasan juga perlu membantu ahli bawahan. Begitulah adat berjemaah saling mengukuhkan, bukan meruntuhkan.

Yang punya wang, jangan berkira untuk memberi. Yang punya kudrat, jangan berkira untuk membantu. Yang punya idea, jangan berkira untuk melontarkan. Surah As-Saff Ayat 4, Allah SWT mengingatkan kita:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”

 

*Penulis merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional.

 

Keluarga besar AMANAH berhemah budi akal bicara bagai aur dengan tebing.