Ahli PKR diingatkan tidak terpengaruh propaganda pembangkang, Wan Azizah

Ahli PKR diingatkan tidak terpengaruh propaganda pembangkang, Wan Azizah

Anggota PKR diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang memainkan sentimen agama dan perkauman sebagai modal politik untuk menjauhkan sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sejak PH menguasai kerajaan, anggota Kabinet termasuk beliau sendiri sering menjadi sasaran ‘cybertrooper’ pihak lawan.

“Permainan agenda perkauman dan agama ini serius. Ia boleh mengancam kestabilan dan keharmonian kaum. Ia berleluasa akibat pihak lawan tidak dapat menerima hakikat kekalahan pada pilihan raya umum lepas. Maka isu-isu ini harus menjadi fokus utama kita untuk ditangani secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra bersama anggota kepimpinan PKR Terengganu semalam.

Turut hadir Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail.

Dr Wan Azizah menegaskan adalah sukar bagi PH kembali berkuasa jika gagal pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita semua bertanggungjawab untuk membantu membina persepsi yang betul dalam kalangan rakyat. Bukan menjatuhkan. Ini kerajaan kita, kita bertanggungjawab mempertahankannya.

“Saya mengajak semua daripada kita untuk mendukung usaha kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memulihkan negara daripada kerosakan yang dilakukan oleh Barisan Nasional,” katanya.

Beliau turut menasihati anggota parti supaya memberi sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi terhadap pemimpin PH.

“Sebagai anggota parti, kita boleh menegur dan memberi pandangan. Tetapi jangan menghina, apatah lagi menggunakan media sosial untuk memburuk-burukkan anggota kerajaan,” katanya.– BERNAMA