Ahli PKR Padang Besar lapor polis, siasat pengundi hantu

Ahli PKR Padang Besar lapor polis, siasat pengundi hantu

Poziyah kanan sekali bersama ahli PKR Padang Besar selepas membuat-laporan polis

Tidak berpuas hati dengan kehadiran pengundi yang tidak dikenali, ahli PKR Cabang Padang Besar membuat laporan polis setelah mendakwa wujudnya pengundi hantu dalam pemilihan cabang tersebut pada Ahad lepas.

Laporan polis yang telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar kelmarin turut menyatakan terdapat kehadiran pengundi yang tidak layak mengundi semasa pemilihan yang diadakan baru-baru ini.

Poziyah Hamzah yang juga merupakan Ketua Wanita PKR Negeri Perlis berkata terdapat bukti dan saksi tentang kewujudan pengundi hantu tersebut.

Beliau yang mengundi di Dewan Semai Bakti, Felda Mata Ayer turut mendakwa wujud penipuan ketika proses pemilihan cabang yang telah diadakan sehingga menimbulkan kecelaruan pada hari pemilihan.

“Selain dari kehadiran pengundi hantu yang tidak dikenali muncul sebagai pengundi pada pemilihan tersebut, kehadiran mereka cukup mencurigakan.

“Malah sistem e-voting yang diguna pakai dalam pemilihan tersebut amat mencurigakan dan tidak telus.

“Ekoran itu kami yang membuat laporan polis masing-masing menuntut supaya siasatan dijalankan segera dengan lebih telus dan terperinci, ” tegas beliau.

Sehubungan itu kata Poziyah lagi, sistem yang digunakan dalam pemilihan kali ini menimbulkan banyak kesangsian sehingga menimbulkan kebimbangan kepada ahli yang mengundi.

Maka itu tambahnya, laporan yang dibuat oleh enam ahli PKR Cabang Padang Besar tersebut bagi memastikan keadilan dapat dicapai bagi semua calon yang bertanding bagi peringkat cabang mahu pun pusat.