Ahli PKR, PH harus jadikan nostalgia hitam 1998 sebagai sempadan

Ahli PKR, PH harus jadikan nostalgia hitam 1998 sebagai sempadan

Ahli PKR dan juga Pakatan Harapan (PH) disarankan supaya menjadikan nostalgia hitam tahun 1998 membabitkan pemecatan dan fitnah terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM) , Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika itu sebagai sempadan.

Demikian ditegaskan oleh Pengarah Komunikasi PKR Cabang Permatang Pauh, Mohd Shukri A.Hamid ketika ditemui semalam.

Jelas beliau lagi, insiden hitam yang telah melanda negara sehingga konflik yang berpanjangan sejak 1998 harus menjadi nostalgia yang tidak harus dilupakan begitu mudah oleh seluruh rakyat dalam negara ini.

“Akibat fitnah, pembohongan dan pelbagai provokasi yang dilakukan terhadap bekas TPM tatkala itu, negara berada dalam keadaan yang amat perit dengan penuh ranjau dan duri bagi mendapatkan keadilan.

“Kesan daripada insiden tersebut sepatutnya dijadikan iktibar dalam isu video lucah yang didakwa membabitkan Datuk Seri Azmin Ali tatkala ini.

“Semua pihak harus bertenang dan tidak melemparkan pelbagai tuduhan dan persepsi negatif kepada mana-mana pihak sehinggalah pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan terperinci,” ujarnya.

Malah kata beliau lagi, kecamukan, pertentangan, konflik, pergaduhan, kecederaan, kecelakaan dan pelbagai insiden hitam yang berlaku pada tahun 1998 sehinggalah berlarutan begitu lama tidak harus dipandang enteng.

“Segala insiden hitam 1998 mesti dijadikan iktibar, bagaimana fitnah dan dakwaan bermotifkan politik boleh memecahkan kekuatan parti, bangsa dan menimbulkan huru-hara.

“Oleh kerana itu semua pihak perlu menyerahkan kebijaksanaan siasatan oleh pihak polis serta pihak berkuasa untuk mendapatkan keadilan dengan sebaik mungkin.

“Kita begitu optimis dengan polisi sedia ada, PH tidak akan mencampuri apa jua siasatan yang sedang dan akan dijalankan oleh pihak berkuasa membabitkan tertuduh maupun yang dituduh,” tambah beliau lagi.

Dengan itu katanya, siasatan menyeluruh dan terperinci mesti dilakukan seadil-adilnya bagi memastikan kebenaran berjaya terungkap dan mereka yang bersalah diheret ke muka pengadilan.