Malaysia Dateline

Ahli PKR Sarawak disaran bertenang

Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sarawak disarankan supaya bertenang dan berdiri teguh bersama parti dalam menguruskan situasi ketiadaan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN)ketika ini.

Penolong Setiausaha MPN Sarawak, Datuk Seri Ir Irwan Mohamad Nor berkata, kepimpinan di peringkat cabang adalah masih boleh menjalankan urusan harian seperti biasa walaupun tanpa Pengerusi MPN yang kini kosong ekoran pengumuman keluar pengerusinya, Baru Bian daripada PKR Ahad lalu.

Jelasnya, berikutan pengumuman Baru yang meniggalkan parti tempohari, maka secara automatiknya jawatan yang disandangnya turut mengalami kekosongon.

“Pada dasarnya, PKR Sarawak turut merasai secara langsung tempias kemelut politik yang melanda kini.

“Dengan pengumuman keluar parti oleh Baru Bian, Ali Biju dan Willie Mongin telah menyaksikan kekosongan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN yang disandang oleh Baru.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan lantikan ke atasnya sebagai Pengerusi MPN turut terbubar sendirinya,” ujar beliau di Kuching hari ini menerusi satu kenyataan.

Bagaimanapun, tegas Ir Irwan, kekosongan dan ketiadaan penyandang jawatan berkenaan adalah bersifat sementara dengan pengurusan MPN secara automatik diambilalih oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP)parti.

Tambah beliau lagi, perkara tersebut telah dibincangkan oleh Ketua-Ketua Cabang yang setia dengan
parti bersama Setiausaha Agung Parti Keadilaan Rakyat, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Kuala Lumpur semalam.

“MPP telah mengambil maklum dan akan membuat perlantikan pengerusi yang baharu dalam masa terdekat ini.

“Antara Ketua Cabang yang hadir dalam pertemuan itu ialah Abang Zulkifli Abang Engkeh (Batang Lupar), Piee Ling (Batang Sadong), Haji Jalil (Mukah), Joshua Jabeng (Selangau), Ahmad Nazib Johari (Santubong) dan Mohdar Ismail (Sibuti).

“Kebanyakan anggota tetap setia bersama parti termasuk di cabang yang diketuai Baru Bian (Lawas), Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin di Puncak Borneo).

Sehubungan itu, katanya, PKRSarawak akan terus bergerak bersama rakan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini untuk mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang dijangka bakal diadakan pada bila-bila masa.