Ahli politik disaran berhenti amalkan politik kotor

Ahli politik disaran berhenti amalkan politik kotor

Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Mohd Sofi Abd Wahab menyeru ahli-ahli politik di negara ini supaya tidak mengamalkan politik kotor dan memalukan dalam usaha untuk mencapai tujuan serta matlamat tertentu.

Beliau berkata demikian mengulas isu penyebaran video lucah membabitkan seorang menteri yang kini hangat diperkatakan.

Kata beliau, adalah amat malang jika apa yang telah dialami oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang lagi kerana hal berkenaan bukan sahaja memalukan diri DS Anwar dan ahli keluarganya, tetapi juga negara.

Sehubungan itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka itu dalam satu kenyataan hari ini menyeru ahli politik di negara ini supaya menghentikan amalan politik kotor seperti ini, sebaliknya bertindak secara profesional, matang dan berakhlak.

“Amalan politik seperti ini tidak sesuai di negara kita, bahkan di seluruh dunia.

“Politik seperti ini adalah politik yang tidak matang dan tidak sihat,” kata beliau.

Mohd Sofi selanjutnya menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan rakaman video terbabit kerana ia boleh mengaibkan diri sendiri, orang lain dan juga negara.