Ahli politik jangan ancam sekolah kebangsaan, cadangan sekolah Inggeris usah dilayan

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menggesa supaya ahli politik tidak sewenang-wenangnya mencampuri sekali gus mengancam kewujudan sekolah kebangsaan.

Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad (foto), berkata cadangan supaya sekolah aliran Inggeris ditubuhkan semula di negara ini tidak harus dilayan memandangkan bercanggah dengan dasar sedia ada.

“Saranan itu tidak lagi perlu dibahaskan berdasarkan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Itu sudah muktamad dan tidak sepatutnya dilanggar tapi orang politik ini degil,” tegasnya.

Mengulas cadangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan itu, beliau berkata, Ahli Parlimen Kota Belud itu bukannya Menteri Pendidikan.

“Kenyataan Datuk Rahman Dahlan ini bukannya datang daripada Menteri Pendidikan. Beliau hanya menteri di JPM. bagaimanapun ada implikasinya kerana beliau pemimpin politik dan ada suara dalam Kabinet.

“Adakah beliau mahu menguji pandangan masyarakat bagi pihak Menteri Pendidikan atau mahu sabotaj menteri menjelang PRU (Pilihan Raya Umum) ini?” bidasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Menurut Saleeh, mengatasi kelemahan bahasa Inggeris bukan matlamat utama pendidikan kebangsaan seperti termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.

“Paling penting ialah pembentukan negara bangsa dan penyampaian ilmu. Bahasa Inggeris hanya alat dan penguasaannya perlu ditangani dengan kaedah pengajaran yang sesuai,” ujarnya.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan Malaysia dilihat masih tidak dapat menyediakan prasarana lengkap bagi tujuan tersebut.

“Pelbagai kaedah tidak berkesan kerana bersifat berkompok serta bersifat tidak menyeluruh. Janganlah ahli politik mencari masalah lagi,” tegas Saleeh lagi.

Kelmarin, Rahman dilapor berkata, sekolah aliran Inggeris penting kerana banyak kajian mendapati pekerja pada masa akan datang berdepan cabaran jika tidak memiliki kepakaran yang bersesuaian untuk berhadapan dengan teknologi baharu.

“Saya percaya sekolah (aliran) Inggeris perlu ditubuhkan di negara ini kerana kita ada sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah swasta, sekolah agama, sekolah antarabangsa dan macam-macam sekolah jadi apa salahnya kita ada sekolah (aliran) Inggeris,” ujar Rahman.

Sebelum ini, kerajaan memberi kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk lantikan pegawai perubatan UD41 secara kontrak.

8.5
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 9.0
CATEGORIES
TAGS