Malaysia Dateline

Ahli politik perlu bersedia amal politik kolaboratif

Politik Malaysia kembali menarik perhatian minggu ini; dicetuskan oleh berita bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti politik dari kedua-dua belah pihak.

Mesyuarat bermula pada awal, 9 Jun, dengan didahului Muhyiddin dan diikuti Anwar Ibrahim serta pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) yang lain. Mesyuarat dijadualkan selesai Isnin 14 Jun sebelum persidangan khas Majlis Raja-Raja pada 16 Jun.

Berita itu telah menimbulkan pelbagai reaksi dari netizen dan penganalisis politik. Ada yang meramalkan akan berlaku pensejajaran semula politik dan ada yang mencadangkan agar mengadakan Mageran seperti yang pernah berlaku pada 1969.

Seperti yang diketengahkan banyak pihak, negara mempunyai beberapa pilihan dalam mengemudi Malaysia keluar dari permasalahan politik yang telah menjadi punca utama kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sudah pasti penyelesaian kini yang diambil oleh kerajaan PN iaitu proklamasi Darurat tidak lagi merupakan resipi yang diperlukan dalam penyelesaian masalah negara.

Kita telah melihat kesan buruk dari mengkasikan kuasa Parlimen Malaysia, tindak balas yang lesu terhadap pelbagai isu, navigasi yang lintang pukang dalam menyelesaikan krisis, sikap sombong dan kurangnya rasa empati terhadap keadaan rakyat. Ianya perlu ditamatkan dengan kadar segera.

Dengan Covid-19 yang masih belum lagi menunjukan penurunan yang meyakinkan, rakyat Malaysia sudah pasti tidak menginginkan apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah berulang semula. Oleh sebab itu, piliha raya umum dalam masa terdekat bukan menjadi pilihan yang bijaksana.

Pilihan kedua adalah untuk Parlimen bersidang dan memberikan ruang proses demokrasi berparlimen untuk melakukan pensejajaran politik sama ada mengekalkan pemerintahan PN atau pembentukan kerajaan baharu.

Sebarang percubaan dalam pensejajaran politik dan untuk ianya berkesan, harus menghasilkan pemerintahan yang mendapat sokongan majoriti kukuh ahli Parlimen.

Sekiranya tidak, kita akan kekal terperangkap dalam pergolakan pemerintah yang rapuh. Melihat tahap sokongan kepada kedua-dua belah pihak serta sikap teragak-agak dalam membuat perkiraan politik untuk merubah pola sokongan, ianya bukan satu yang meyakinkan untuk dicapai.

Pilihan seterusnya ialah membentuk pendekatan politik kolaboratif dan tiga model telah diketengahkan oleh pelbagai penganalisis politik; iaitu Kerajaaan Perpaduan, Confidenca dan Supply Agreement dan terakhir ialah Mageran.

Ketiga-tiga mempunyai kekuatan dan kelemahannya; tapi yang penting ianya adalah pendekatan yang lebih pragmatik berbanding yang dua sebelum ini.

Kerisauan ramai terhadap kebarangkalian ketiga-tiga model itu boleh dilaksanakan dengan berkesan kerana lanskap politik Malaysia yang diwarnai oleh prasangka perkauman dan agama yang melampau, amalan korupsi kronik, mementingkan diri sendiri, dan dipandu oleh prinsip-prinsip garis parti parokial (bukan yang penting bagi rakyat). Kerisauan ini masih terpakai dalam Mageran dan CSA.

Saya tidak berhasrat untuk membincangkannya dari segi mekanisme pelaksanaan ketiga-tiga model tersebut kerana telah banyak dibincangkan dalam ruang perdebatan disediakan.

Saya lebih berminat untuk mengetengahkan apakah pensejajaran budaya dan tingkah laku politik yang perlu diperlukan oleh kita sebagai ahli politik dalam menjayakan satu CSA.

Adakah rakyat boleh meletakan harapan kepada kita sebagai ahli politik untuk menyelaraskan semula pemikiran dan tingkah laku politik dalam usaha untuk menjayakan pendekatan politik kolaboratif?

Sekurang-kurang sehingga rakyat dapat keluar dari kemelut ini dan telah bersiap siaga untuk berhadapan dengan pilihan raya umum?

Sekiranya jawapannya ya, apakah pula ciri kepemimpinan yang diperlukan? Bagi saya ada tiga perkara yang amat penting.

Pertama, kita memerlukan ahli politik untuk bertindak jujur, bersungguh-sungguh dan bertekad dalam membawa rakyat keluar dari cabaran wabak ini tanpa merasa bimbang terhadap kedudukan dan kuasa mereka.

Rakyat sudah penat dengan sajian retorik politik dan sudah sampai masanya untuk kita bekerja demi rakyat dalam menyelesaikan permasalah mereka. Sikap ini akan dapat membina kepimpinan politik kolaboratif yang amat diperlukan sekarang.

Kedua, sikap berterus terang dalam membina naratif permasalahan yang sedang dihadapi. Pemimpin harus bersikap terbuka dalam menyatakan keadaan sebenar dan tidak mengamalkan “sikap paternalistik terhadap rakyat dimana rakyat adalah anak-anak yang perlu dilindungi dari berita buruk”.

Sebaliknya, pemimpin harus memimpin rakyat “sebagai orang dewasa yang akan memahami tindakan penyelesaian jangka panjang”.

Dengan keterbukaan ini, ianya akan membina kredibiliti dan kepercayaan terhadap jalan penyelesaian yang dipilih. Rakyat akan lebih pemaaf ketika kita tersandung dalam tindak-tanduk sekiranya mereka merasakan di situ ada integriti dalam tindakan kita.

Akhir sekali dan sama pentingnya; membina hala tuju yang jelas dalam pengurusan krisis, memaparkan rasa belas kasihan dan empati terhadap permasalahan yang sedang dihadapi oleh rakyat dan memberikan harapan dan keyakinan bahawa satu hari kita akan bersama-sama keluar dari krisis dan ianya adalah amat hampir.

YDPA telah membuka ruang kepada kita sebagai ahli politik untuk tampil ke hadapan dalam memaparkan kepemimpinan politik kolaboratif dalam membawa negara keluar dari krisis.

Namun, tanda tanya besarnya, adakah kita sudah bersedia untuk membuktikan nilai kita kepada negara?

Apakah pentas politik kita menemui kematangan seperti yang pernah dinyatakan oleh Mahatma Gandhi “Our ability to reach unity in diversity will be the beauty and the test of our civilisation.” Masa akan menentukan.

*ZAHARUDIN OTHMAN merupakan Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan.