Ahli politik PKR dibunuh kejam di Sarawak

Ahli politik PKR dibunuh kejam di Sarawak

PKR merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang Bill Kayong yang merupakan setiausaha politik Dr Michael Teoh, Ahli Parlimen Miri, dan mantan calon PKR bagi kerusi N71 Bekenu pada Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN) ke-11 lalu yang dibunuh kejam pagi ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mendiang seorang aktivis dan anggota PKR yang komited kepada agenda Reformasi.

“PKR dikejutkan dengan kes pembunuhan saudara Bill Kayong. Mengikut laporan awal, beliau telah mati ditembak di lampu trafik berhampiran Emart One-Stop Shopping Mall di Senadin, Miri, di dalam kenderaan pacuan empat roda yang ada lambang PKR,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mendiang sering mengangkat isu-isu yang dekat di hati rakyat Sarawak, termasuklah isu hak tanah adat yang kerap diangkitkan ketika PRN lalu.

Pada ketika ini, ujarnya, motif jenayah pembunuhan tersebut belum lagi dikenalpasti dan pihaknya menggesa semua pihak untuk bersabar dan menunggu kenyataan penuh daripada pihak polis.

Pasukan polis dan para medik menyiasat tempat kejadian Bill Krayong ditembak pagi ini.“PKR turut menggesa agar mereka yang terlibat dalam pembunuhan kejam ini segera dikesan, ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

“Semoga keluarga mendiang terus sabar dalam menghadapi ujian dan dugaan yang amat mencabar ini,” tambahnya dalam kenyataan bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Manakala itu, Parti Amanah Negara (Amanah) juga terkejut dan dukacita menerima berita kematian bekas calon PKR bagi pilihan raya negeri Sarawak, Bill Kayong yang dilaporkan ditembak pada jarak dekat di Miri, pagi tadi.

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata, Bill dikenali sebagai seorang pemimpin muda yang disegani dan tegas memperjuangkan isu-isu rakyat, malah mempunyai masa hadapan politik yang cerah.

“Amanah melahirkan kebimbangan dengan insiden pembunuhan kejam berprofil tinggi yang semakin kerap kedengaran sejak kebelakangan ini.  Jika berlaku di Amerika Syarikat, mungkin ia tidak mengejutkan kerana dasar kerajaan itu membenarkan rakyatnya memiliki senjata,” katanya.

Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee juga menyifatkan, pembunuhan seorang ahli politik PKR di Miri pagi ini amat mengejutkan ramai pihak.

Bill Kayong, setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo, telah ditembak pada kira-kira 9 pagi tadi ketika beliau berhenti di persimpangan yang sibuk di hadapan pusat komersial E-Mart di Senadin.

“Pas menggesa pihak polis dapat menyiasat apa punca kes pembunuhan ini berlaku keatas ahli politik. Kes tembak dan lari pernah berlaku sebelum ini di bandaraya Miri dan sehingga ini belum ada sebarang tangkapan dibuat,” katanya.

Bagi beliau, tindakan tegas seharusnya diambil keatas mereka yang melakukan dan mereka yang mengupah pembunuhan kejam ini.

Sebelum ini, katanya, mangsa pernah membantu Pas dalam pilihan raya umum ke 13 lalu di parlimen Sibuti.

“Beliau merupakan seorang pejuang yang komited untuk memperjuangkan hak bumiputera di Sarawak. Kita kehilangan seorang rakan seperjuangan yang komited dalam memperjuangkan hak bumiputera Sarawak,” kata Jofri dalam satu kenyataanya.

Sehubungan itu, katanya, PAS Sarawak merakamkan ucapan takziah dan simpati keatas keluarga mangsa.

“Semoga mereka sabar menghadapi ujian yang berat ini dengan tabah.  Kita harap pembunuh tersebut berjaya ditangkap dan dibawa ke muka keadailan untuk dihukum dengan sewajarnya,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)