Malaysia Dateline

Ahli politik senior turut serta bersesak di mahkamah, Pemuda PH lapor polis

Pemuda Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan, membuat laporan polis terhadap satu himpunan beramai-ramai yang didakwa telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial, di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) WP, P Prabakaran berkata, apa yang mengecewakan adalah penglibatan ahli-ahli politik senior yang turut sama kelihatan menyertai himpunan tersebut.

Beliau berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang secara jelas melanggar arahan kerajaan.

“Apa yang saya kecewa, tindakan ahli politik senior yang tidak bertanggungjawab. Contohnya Najib Razak. Boleh saja guna kereta masuk ke dalam (mahkamah), tapi beliau pilih jalan menyertai perhimpunan itu

“Walaupun pihak polis keluarkan kenyataan bahawa mereka akan ambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam perhimpunan awam, saya tekankan bahawa ahli politik senior juga terlibat,” katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda AMANAH WP, Asmaaliff Abdul Adam dannKetua Pemuda DAPSY WP, Lee Bing Hong.

Semalam, kira-kira 2,000 penyokong Najib dilaporkan bersesak dan bersorak di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mereka dengan sebahagiannya tidak memakai pelitup muka atau tidak mengenakannya dengan sempurna, berteriak berulang kali dengan jeritan Bossku sejurus Najib tiba.

Sementara itu, ahli Parlimen Batu itu berkata, kekhuatiran juga terarah kepada ahli Parlimen yang menyertai Dewan Rakyat selepas berhimpun di mahkamah.

“Saya selaku ahli Parlimen, keselamatan saya pun tergugat apabila MP yang terlibat dalam perhimpunan awam, hadir ke sesi Parlimen.

“Semalam (MP) baling yang pergi mahkamah pun hadir di Parlimen. Kalau mereka ini positif, Parlimen pun terpaksa kuarantin,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau meminta agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan Covid-19 kepada ahli Parlimen yang bersesak dalam perhimpunan tersebut.

Beliau turut membacakan SOP kementerian yang antaranya menyenaraikan bahawa segala aktiviti yang menyebabkan kehadiran beramai-ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial, adalah tidak dibenarkan.

Sayap pemuda PH itu justeru mempersoalkan, sama ada perhimpunan semalam sudah mendapat permit himpunan daripada pihak polis atau pun tidak.