Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menegaskan bahawa lantikan politik tidak terkecuali dalam skim tidak berpencen bagi penjawat awam baharu.
Kenyataan Anwar yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan itu sekali gus telah membuktikan bahawa kerajaan pimpinannya memang ‘cakap serupa bikin’.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK) iaitu Haziq Azfar Ishak, khabar ini juga telah menjadi tamparan hebat terhadap segelintir ahli politik.
Hal ini kerana, sesetengah ahli politik berkenaan hanya bersuara selepas kehilangan kuasa namun berpeluk tubuh saat berada di tampuk kepimpinan, lapor Sinar Harian.
“Perbincangan terkait pemansuhan pencen yang cukup mewah buat ahli politik ini telah lama menjadi polemik.
“Kini ia ditamatkan dengan keputusan Kerajaan Perpaduan yang nyata mempunyai iltizam yang sangat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan memetik laporan Sinar Harian.
Jelas Haziq, pelaksanaan ini perlu disambut baik sebagai solidariti ahli politik dalam mengurangkan beban dan membantu kerajaan mengurus kewangan secara berhemah.
Penguatkuasaan dasar kerajaan juga dijangka boleh berlaku dengan lebih adil jika skim saraan tidak berpencen untuk lantikan politik baharu ini berjaya dilaksanakan.
“Pimpinan politik boleh menjalani kehidupan sama seperti rakyat biasa di samping mencerminkan pemakaian keputusan dan dasar kerajaan terhadap semua golongan tanpa mengira darjat.” Ulasnya.
Terdahulu, Anwar bahawa keputusan yang ditetapkan kerajaan bagi penjawat awam akan turut terpakai kepada ahli politik termasuklah skim saraan tidak berpencen.
Anwar yang bersetuju keputusan itu secara berprinsip berkata, ahli politik termasuk Jemaah Menteri, Menteri Besar dan wakil rakyat turut tidak terkecuali dari skim ini.
Kenyataan dibuat selepas satu gesaan dibuat orang ramai berhubung pemansuhan pencen dalam kalangan ahli politik susulan pelaksanaan skim melibatkan penjawat awam itu diumumkan.
Bagi menjelaskan semua kekeliruan rakyat berhubung skim ini, Menteri Kewangan II iaitu Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bakal mengeluarkan kenyataan lanjut tidak lama lagi.