Malaysia Dateline

Ahli PSC persoal Wan Junaidi kelihatan lindungi Azam

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempersoal kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Kesemua anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu mendakwa kenyataan Wan Junaidi seakan memperkecil “skandal” melibatkan penjawat awam selama 37 tahun dalam perkhidmatan itu.

Sehubungan itu, mereka dalam kenyataan bersama ditandatangani Chan Foong Hing (PH-Kota Kinabalu), Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) dan William Leong (PH-Selayang) itu mencabar supaya Wan Junaidi memperjelaskan hal yang dibangkitkan.

“Selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, kami kesal Wan Junaidi nampaknya memperkecilkan keseriusan skandal pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dengan membangkitkan nilai saham-saham pada masa pembelian.

“Wan Junaidi telah memberikan justifikasi isu saham dipegang oleh Azam dengan mengatakan bahawa ianya bernilai RM 330,000.00 dan adalah mampu milik.

“Persoalan kami, mengapakah Wan Junaidi kelihatan bersifat melindungi Azam?

“Isu pembelian saham-saham ini a bukan sahaja isu mampu milik. Ia juga persoalan konflik kepentingan. Ia juga persoalan integriti,” tegas mereka.

Semalam, Wan Junaidi berpendapat jumlah saham yang dibeli pada 2016 dan dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bukan saham yang mahal untuk diperolehi.

“Saya percaya ia mampu dimiliki oleh kebanyakan daripada kita,” katanya.

Mengulas lanjut, kesemua anggota PSC itu menegaskan kontroversi membabitkan Azam juga melibatkan persoalan defisit kepercayaan rakyat terhadap SPRM selaku pembasmi rasuah.

“Wan Junaidi nampaknya telah mengabaikan kesemua persoalan ini,” kata mereka.

Mereka juga menegaskan kenyataan Wan Junaidi bahawa Azam mampu membeli saham tersebut dengan menggunakan gaji sendiri juga bercanggaj dengan kenyataan pegawai kanan tersebut sebelum ini yang mendakwa akaunnya telah digunakan oleh adiknya, Nasir.

“Mengapakah seruan kita untuk mengadakan pendengaran untuk Azam diketepikan? Bagaimana demokrasi berparlimen di Malaysia dapat berfungsi jika PSC tidak dapat menjalankan tugas secara berdikari tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada eksekutif?

“Mengapakah Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) kena tulis surat kepada Wan Junaidi untuk mendapatkan kelulusan?

“Kami dengan sesungguhnya menyatakan bahawa tiada keperluan bagi mendapatkan kelulusan Wan Junaidi dan pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat dan SUDR seharusnya menetapkan tarikh bagi mesyuarat atau pendengaran PSC Agensi JPM tanpa dilengah-lengahkan lagi,” kata mereka lagi.