Malaysia Dateline

Ahli rasa dicurangi rakan kongsi, kata MT Umno

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, rata-rata orang Umno yang mengikuti Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini rasa dicurangi oleh rakan kongsinya sendiri.

“Dari pembahagian kerusi, calon bebas, tiga penjuru, hinggalah perjanjian portfolio kabinet. Tulisan angkuh ketua Armada pula mengundang serang balas,” tulis bekas Menteri Komunikasi kerajaan Barisan Nasional (BN) itu menerusi facebook beliau.

Menurut bekas MP Kemaman itu, ada pencemaran serius dalam hubungan Umno-Bersatu.

“Toksik. Tanpa penawar, boleh berlaku keciritan yang memudaratkan. Dari dulu pun, ramai minta berhati-hati. Bersatu diasaskan untuk ganti Umno. Untuk musnahkan Umno,” kata Shabery.

Menurut beliau, kecurangn kini berlaku di mana-mana.

“Kini ia dilihat sebagai himpunan kecurangan. Tun M, pengasasnya kata ia dicurangi. DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata ia dicurangi AA (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali).

“Umno pula dicurangi ramai pemimpinnya sendiri. Semua berhimpun di sana. Kalau curang menjadi amalan, ia membudaya dan dianggap strategi politik biasa,” katanya.

Bagi beliau, pastinya di saat rasa dicurangi, ada pihak ketiga akan mengambil kesempatan.

“Pengumuman DSAI samada dirancang atau kebetulan, kena pada waktunya. Kenyataan Presiden Umno yang beliau tak boleh menghalang menambah ribut. Walhal dari dulu lagi, MP Umno memang banyak ke sana kesini,” kata beliau.

Bagaimana pun, Shabery yakin ahli Umno tidak akan bersama dengan Anwar.

“Ahli tidak boleh telan DSAI, PKR dan DAP. Ia soal perasaan dan emosi. Perasaan dan emosi inilah yang akan diluahkan dalam Persidangan sayap dan Perwakilan Bahagian di seluruh negara yang bermula hujung minggu ini,” katanya.

Bagi beliau, baling kerusi bukan tradisi Umno.

“Namun luahan akar umbi banyak merubah dasar dan corak kepimpinan Umno sebelum ini. Ia tak boleh dipandang ringan,” katanya.