Malaysia Dateline

Ahli tabligh Seri Petaling mesti faham tanggungjawab lakukan saringan

Keengganan sebahagian peserta perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling untuk menjalani ujian saringan koronavirus baharu (Covid-19) amat mengecewakan.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad mempersoalkan tanggungjawab mereka walaupun Kementerian Kesihatan sudah banyak kali menyeru peserta, ahli keluarga dan kontak rapat kluster tersebut untuk tampil berbuat demikian.

“Apa dah jadi dengan geng Tabligh ini? Takkan tak faham tanggungjawab sesama manusia? Kewajipan menjaga nyawa? 5,084 lagi?” soalnya di Twitter pagi ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu pihaknya perlu mencari 5,084 mereka terbabit yang belum menjalani ujian Covid-19.

“Jadi, kami harap dapat jalankan ujian saringan terhadap mereka,” katanya pada sidang media di KKM di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Khalid turut membidas sikap pihak tertentu yang terus memainkan sentimen kebencian kaum di sebalik ancaman pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Shah Alam berpendapat, adalah lebih baik sekiranya pihak terbabit membantu ahli tabligh untuk membantu memerangi wabak amat berbahaya itu.

“Ada pula yang asyik kutuk Cina. Tidak habis-habis dengan kebencian dan perkauman mereka.

“Kalau bantu geng Tabligh ini faham tanggungjawab mereka, ‘kan lagi baik,” ujar Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.

Setakat semalam, kira-kira 12,500 peserta tabligh sudah menjalani ujian saringan dengan 1,207 disahkan positif.

Dr Noor Hisham memberitahu, sebanyak 6,648 kes negatif manakala 4,645 kes masih menunggu keputusan.

Untuk rekod, KKM sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa khususnya polis untuk menjejaki individu yang berkait dengan kluster tabligh itu.

Pada 23 Mac lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis mulai memburu baki jemaah tabligh yang masih belum menjalani ujian saringan Covid-19.

Tegasnya, polis sudah mempunyai senarai nama lengkap lebih 3,800 jemaah tabligh terbabit yang bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi terdiri daripada etnik Rohingya dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Setakat semalam, sebanyak 2,320 kes positif Covid-19 dilaporkan, 27 kes kematian dan 320 kes telah pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad.