Ahli tidak perlu pertikai  siapa calon Pas di PRK, kata Mahfodz

Ahli tidak perlu pertikai siapa calon Pas di PRK, kata Mahfodz

Ahli Pas tidak sepatutnya mempertikaikan calon yang dipilih pucuk pimpinan untuk mewakili parti itu pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun nanti, tegas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Beliau dipetik berkata, calon di kedua-dua PRK itu telah dipersetujui Majlis Syura Pas setelah membuat penelitian secara terperinci.

Malah, semua ahli parti termasuk ulama perlu menghormati keputusan tersebut dan bekerja keras membantu calon memenangi kedua-dua PRK tersebut.

“Mengenai pemilihan calon PRK sebenarnya proses pemilihan bermula dari kawasan dan dibawa negeri dan seterusnya dewan harian (Pas) kita berbincang.

“Masing-masing ada hak, kawasan bincang dewan ulama negeri pun sudah bincang. Tidak kira siapa, bila diputuskan jawatankuasa harian Pas maka kena wala (taat) supaya calon yang kita letak mencapai kemenangan lebih-lebih lagi di Selangor apabila pada PRU lepas kita kalah tipis.

“Kali ini bakal-bakal calon diputuskan Majlis Syura Ulama dan Majlis Syura Ulama putuskan mereka (Calon PAS di dua PRK) layak bertanding.

“Sebagai ulama kita kena usaha keras untuk pastikan calon Pas capai kemenangan,” katanya dalam ucapan penggulungan Dewan Ulama Pas Pusat sempena Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas ke-55 di Tok Bali hari ini, lapor FMT.

Terdahulu, perwakilan Dewan Ulama Pas Selangor, Nik Bakri Nekmat mendesak Dewan Ulama Pas Pusat campur tangan dalam pemilihan calon untuk memastikan orang yang dipilih itu mesra Pas dan tidak akan berpaling tadah atau mesra parti lawan.

Tanpa menyebut secara jelas, calon yang dimaksudkan Nik Bakri itu dirasakan ada kaitan dengan Dr Abdul Rani di PRK Sungai Besar yang dilihat lebih mesra Amanah.

TAGS