Malaysia Dateline

Ahli Umno cadang Shahrir letak jawatan sebagai Pengerusi Felda

Bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yassin mencadangkan supaya Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad meletakkan jawatan.

Beliau mendakwa Shahrir Samad cuba mencari populariti sendiri melalui isu Felda dan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Kata beliau, Shahrir Samad telah menggunakan isu KLVC dan ia menyebabkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak terpalit tidak bersebab.

“Shahrir Samad patut berhenti menjadi Pengerusi Felda.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah Umno, pengerusi yang menggantikan pengerusi terdahulu, cuba memburukkan bekas pengerusi,” tulis penulis blog itu dalam Facebooknya.

Zaharin Mohd Yassin

Kata beliau, hal tersebut tidak pernah berlaku kecuali apabila Shahrir Samad mengambil alih jawatan berkenaan daripada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Sebelum ini Zaharin mengkritik hebat Shahrir dan mendakwa Shahrir berbohong dalam isu KLVC.

Kata beliau, dalam pengamatan beliau, sehingga hari ini projek tersebut masih berjalan seperti biasa dengan mesin-mesin serta pekerja bergerak seperti biasa tanpa gangguan.

“Sekiranya telah berlaku pertukaran milik tanah seperti diumumkan Shahrir Samad, pastilah kerja-kerja bagi projek berkenaan telah dihentikan,” katanya.

Berikutan itu beliau memperosalkan apakah permainan yang dibuat oleh Shahrir Abd Samad selaku Pengerusi Felda dalam isu projek KLVC ini.