Malaysia Dateline

Ahli Umno dakwa Shahrir menipu tentang projek KLVC

Bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yassin mendakwa Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berbohong mengenai projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak.

Kata beliau, projek usahasama antara Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) dengan Felda Investment Corporation Sdn. Bhd itu jelas menunjukkan bahawa Felda mempunyai kepetingan di dalamnya.

Menurut Zaharin, dalam pengamatan beliau, sehingga hari ini projek tersebut masih berjalan seperti biasa dengan mesin-mesin serta pekerja bergerak seperti biasa tanpa gangguan.

Kata beliau, sekiranya telah berlaku pertukaran milik tanah seperti diumumkan Shahrir Samad, pastilah kerja-kerja bagi projek berkenaan telah dihentikan.

Berikutan itu beliau memperosalkan apakah permainan yang dibuat oleh Shahrir Abd Samad selaku Pengerusi Felda dalam isu projek KLVC ini.

“Sekejap begini, sekejap begitu, sekejap dapat, sekejap tak dapat.

“Apabila pembangkang membangkitkan soal ini dia (Sahrir) kata bohong,” kata bekas Setiausaha Kerja Barisan Nasional (BN) Bandar Tun Razak itu kelmarin.

Kata Zaharin, beliau tidak dapat lagi mempertahankan isu Felda ini.

Zaharin Mohd Yassin

Ekoran itu tambah penulis blog itu, dalam masa terdekat beliau akan menulis mengenai apa sebenarnya di sebalik sandiwara isu tanah Felda ini.

“Benarkah ada penyelewengan oleh pengurusan tertinggi Felda atau ia permainan orang dalam yang cuba mencari keuntungan.

“Atau Shahrir Samad cuba juga mencari keuntungan dan menjadi popular melalui isu ini dengan mengupah pihak Berita Harian membangkitkannya,” kata beliau.

Hakikatnya kata beliau lagi, projek ini masih berjalan seperti biasa.