Ahli Umno Kedah dan Johor mahu Najib berundur

 

Seramai 250 ahli Umno dari Kedah dan Johor  mendesak Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak berundur secara terhormat  dan mereka bersedia dikenakan tindakan tatatertib  oleh parti kerana menentang pemimpin,  dalam satu majlis  sederhana diadakan semalam, yang  diadakan itu  turut dihadiri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ahli Umno Bahagian ini berkumpul menyatakan sokongan terhadap Tun Dr. Mahahathir Mohamad dengan mengadakan perjumpaan di Auditorium Muzium Kesenian Islam,  semalam.

Razali Mohd Nor dari Umno Bahagian Kluang, Johor berkata, Najib harus harus berkorban dengan mengundurkan diri demi memastikan Umno terus berkuasa di Malaysia .

“Hilang seorang tak apa tapi kalau kita hilang segalanya sampai air mata darah pun kita tidak akan jumpa lagi.

“Ini datang daripada rakyat. Kebimbangan kita dengan isu semasa yang tidak dapat dijawab dengan jelas.

“Bukan orang parti sahaja tapi orang luar parti mencemuh kita, Umno ini apa nak jadi. Bukan sahaja pembangkang tapi kakitangan kerajaan pun dah hilang kepercayaan kepada Najib.

“Saya  sanggup dikenakan tindakan tataterbit kerana menentang kepimpinan Presiden ,” katanya pada sidang media selepas majlis bersama Tun Dr Mahathir Mohammad di Muzium Kesenian Islam di ibu kota semalam.

Umno Bahagian Kluang sebelum itu merancang untuk membuat sidang media di sebuah hotel tempat penginapan mereka sebaliknya menukar lokasi di saat akhir setelah mengetahui Umno Bahagian Merbok juga  menganjurkan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Muzium Kesenian Islam pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Jalan Badlishah Bahagian Merbok, Kedah, Anuar Abdul Hamid mendesak Najib berehat sehingga siasatan ke atas 1MDB selesai.

Beliau berkata, Najib tidak seharusnya campur tangan dalam siasatan sebaliknya harus membiarkan ia berjalan secara telus dan adil.

“Pendirian kami mudah. Najib kena berundur secara terhormat. Kita mahu Najib dengan sukarela berehat sebentar untuk diadakan sisatan menyeluruh.

“Ini sudah menjadi adat resam apabila berlaku sesuatu perkara disyaki melibatkan kes-kes jenayah seseorang pemimpin direhatkan.

“Macam mana kita nak dapat satu siasatan yang lengkap, yang adil kepada semua pihak kalau terlampau banyak gangguan,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 500 ahli cawangan daripada Kedah dan Johor hadir mendengar amanat daripada Tun Mahathir yang mahu mereka menolak kepimpinan Najib yang disifatkan sebagai ‘pembawa masalah kepada parti’.

Tun Mahathir dalam ucapannya di Auditorium Muzium Kesenian Islam turut mempersoal kebaikan yang dibawakan oleh Najib ke dalam parti keramat itu.

“Dia kata Umno parti penuh kebaikan.Dengan Umno orang boleh jadi peguam, boleh jadi doktor. Yalah, itu semua masa sebelum dia jadi presiden parti.

“Saya nak tanya, apa yang dia perkenalkan ke dalam parti sejak dia jadi Presiden? Cuma 1Malaysia,” bidas Mahathir disambut tepukan hadirin yang hadir.

Menurut Mahathir, 1Malaysia yang dicipta Najib telah menyebabkan terhapusnya dasar ekonomi baharu yang sepatutnya membela nasib orang Melayu di negara ini.

Menurutnya lagi, orang Melayu sepatutnya dibantu memandangkan ekonomi kaum lain selain bumiputera bertapak lebih kukuh di negara ini.

“Saya bukan benci kaum lain. Tetapi Melayulah yang sepatutnya dibantu kerajaan. Kaum lain sudah kaya. Mereka ada duit. Melayu ada apa? Siapa ak bantu mereka?” ujar beliau lagi.

TAGS