Malaysia Dateline

Ahli Umno Sabah diminta tunggu isyarat bertindak selepas pengumuman kerusi

Ahli dan penggerak Umno di Sabah, khasnya bahagian Tuaran, akan menunggu isyarat dari pemimpin Umno bahagian apa langkah yang perlu mereka ambil selepas pemimpin Umno di Kuala Lumpur membuat keputusan tentang pembahagian kerusi dalam pilihan raya Sabah.

Ia adalah arahan Ketua Umno Bahagian, Datuk Abdul Rahman Dahlan kepada mereka dalam satu perhimpunan Umno Tuaran di Tambalan, Sulaman Sabah 2 September lalu berikutan perebutan kerusi antara Umno dan Bersatu di Sabah.

“Kita akan pastikan maruah Umno Sabah khasnya di Sulaman ini terbela,” kata Abdul Rahman dalam pertemuan itu dengan penuh semangat dan mendapat tepukan gemuruh penyokongnya.

Umno dan Bersatu akan mengumumkan calon-calon mereka dalam pilihan raya pada hari ini.

Adun Sulaman, Hajiji Noor bersama tujuh lagi Adun yang menang atas tiket Umno dalam pilihan raya umum lalu meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu April 2019 lalu.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ket7a Badan Pimpinan Bersatu Sabah.

Selain Hajiji, Adun lain yang menyertai Bersatu ialah Datuk Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Japlin Akim (Usukan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), selain bekas pemimpin Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Bobbey Suan (Nabawan).

Umno Tuaran di bawah pimpinan Abdul Rahman bertekad mahu Umno bertanding kembali di kerusi Sulaman namun ia berdepan dengan laluan sukar selepas parti itu bekerjasama dengan Bersatu membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Sehubungan dengan itu, Rahman menuntut jika kerusi itu tidak ditandingi Umno, pemimpin Umno Bahagian perlu diberikan kedudukan khusus dalam kerajaan.

Sebelum ini Rahman menimbulkan kekecohan apabila membantah perlantikan Datuk Bung Mokhtar Radin sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno Sabah.

12 bahagian Umno di Sabah dengan diketuai Rahman membantah pelantikan Bung Moktar Radin sebagai pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi Barisan Nasional (BN) seperti diumumkan Ahmad Zahid Hamidi.

Bagi mereka, pengumuman presiden Umno itu melanggar semangat autonomi diberikan kepada Umno Sabah untuk menentukan hala tuju sendiri.

Katanya, tindakan memilih Bung Moktar yang berdepan tuduhan mahkamah adalah penghinaan kepada Umno Sabah dan seperti memberi peluru kepada pihak lawan sedangkan BN berpeluang besar memenangi pilihan raya itu disebabkan kelemahan parti Warisan.

Sabah akan berhadapan dengan pilihan raya umum 26 September ini manakala penamaan calonnya akan dibuat pada 12 September iaitu Sabtu ini.