Ahli Umno sertai Warisan, 30 cawangan ditubuhkan serentak di Kota Belud

Ahli Umno sertai Warisan, 30 cawangan ditubuhkan serentak di Kota Belud

 

Parti Warisan Sabah (Warisan) menerima kemasukan 1,205 ahli Umno ke dalam parti itu dan menubuhkan 30 cawangan di empat Dewan Undangan Negeri (Dun) membabitkan Kadamaian, Tampasuk, Pintasan dan Usukan di dalam Parlimen Kota Belud, Sabah.

 

Parti Warisan Sabah (Warisan) menerima kemasukan 1,205 ahli Umno ke dalam parti itu dan menubuhkan 30 cawangan di empat Dewan Undangan Negeri (Dun) membabitkan Kadamaian, Tampasuk, Pintasan dan Usukan di dalam Parlimen Kota Belud, Sabah.

Penubuhan cawangan dan menerima masuk keahlian serentak telah disempurnakan Naib Presiden Warisan Datuk Dr Jaujan Sambakong yang menerima borang keahlian dalam Majlis Bicara Warisan yang diadakan di Kampung Pengkalan Abai, Kota Belud semalam.

” Sebanyak 30 cawangan Parti Warisan ditubuhkan. Di Dun Kedamaian (6 cawangan); Tempasuk (1); Pintasan (5) dan Usukan 18 cawangan.

“N.13 Pintasan adalah salah satu Dun baharu.

“Keseluruhan Dun membabitkan kemasukan keahlian 1,205 orang yang mana sebahagian besarnya adalah dikalangan bekas ahli Umno-BN di Sabah yang kecewa dengan kerajaan pusat yang gagal melunaskan janji-janji pilihan raya oleh wakil-wakil rakyat mereka dalam PRU13 yang lalu,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Jaujan yang juga Adun Sulabayan berkata, sejak parti Warisan ditubuhkan pada Oktober lalu, hampir 60 peratus jawatankuasa penyelarasan di kawasan Parlimen telah dikenalpasti.

“Sudah hampir 60 peratus menubuhkan jawatankuasa penyelaras di kawasan Parlimen untuk kenalpasti Ketua Penyelaras.Mereka buat pejabat sendiri secara sukarela untuk membantu parti Warisan di kawasan mereka.

“Ini kerana kebanyakan mereka sudah kecewa dengan kerajaan hari ini. Isu kenaikan kos sara hidup,pembangunan yang tidak seimbang di negeri ini dan janji-janji pilihan raya masih banyak yang tidak dikotakan antara punca mereka mahu menyertai parti Warisan dan menukar kerajaan BN,” ujarnya.

Katanya masyarakat luar bandar harus mendapat pembelaan seadilnya daripada kerajaan yang memerintah sejak negara mencapai kemerdekaan hampir 60 tahun kini.

“Harapan kita menubuhkan parti Warisan  untuk membela rakyat. Pembangunan yang tidak seimbang antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Barat sepatutnya tidak berlaku.

“Sebaliknya inilah yang berlaku kerana bukan semua kawasan mendapat pembelaan daripada kerajaan pusat terutama di luar bandar.

“Terdapat kawasan langsung tidak membangun, seolah-olah kita belum lagi mencapai kemerdekaan di Sabah ini selepas menyertai Malaysia.

“Kita boleh bangga hanya melihat pembangunan di sekitar Kota Kinabalu tetapi kerajaan terlupa di luar bandar banyak penyokong kerajaan (pengundi) yang telah dipinggirkan daripada arus pembangunan.

“Jalan raya saja cantik tetapi rakyat masih lagi hidup dalam kemiskinan,” ujarnya merujuk kepada Lebuhraya Pan Borneo.

Ditanya mengenai kerusi yang akan ditandingi parti Warisan, Jaujan berkata, pada masa ini masih belum lagi menetapkan kawasan yang akan menjadi sasaran parti itu untuk meletakkan calon bertanding.

” Sasaran kita nak tumbangkan BN, kita akan letakan calon di kawasan yang kita yakin boleh menang di kawasan baharu atau Dun sedia ada,” ujarnya yang turut berkata akan mempertahankan kerusinya di Dun Sulabayan jika dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Sabah mempunyai 25 Parlimen dan bagi PRU14 penambahan 13 kerusi Dun baharu daripada 60 kerusi sedia ada di negeri itu berikutan syor persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu.

TAGS