Ahli yang hadir himpunan selain kongres akan dipecat, tegas Anwar

Ahli yang hadir himpunan selain kongres akan dipecat, tegas Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu sejak kelmarin sebanyak 83 peratus perwakilan telah berjanji akan hadir di Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Melaka.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, mana-mana ahli parti itu yang menghadiri perhimpunan selain Kongres Nasional, bakal berdepan tindakan tegas termasuk pemecatan.

“Setakat ini ada percubaan kecil (sabotaj kongres). Sejak tiga hari lalu, 83 peratus perwakilan sudah berjanji akan hadir di (kongres) di Melaka hujung minggu ini.

“Jika ada yang cuba buat kongres lain, (mereka) akan dipecat,” tegasnya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau menyifatkan tindakan sabotaj terhadap kongres parti adalah kesalahan yang besar kerana tujuan kongres diadakan bertujuan memperkukuhkan PKR demi agenda rakyat.

“Kalau ada cubaan merosakkan semangat perpaduan oleh mana-mana pimpinan, tindakan tegas akan diambil termasuk pemecatan kerana sabotaj kongres ini adalah kesalahan yang besar,” ujarnya.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan Azmin semalam, Anwar menjelaskan ia berlangsung dalam suasana yang baik dan positif.

“Azmin ada kemukakan pandangan dan kita merasakan perlu kongres ini memberi ruang kepada perwakilan mendengar semua (ucapan) pimpinan.

“Tumpuan kita adalah untuk perkukuhkan PKR dan mengikat parti dengan agenda rakyat. Sekarang ni banyak keluhan rakyat yang perlu kita dengar. Ini perkara yang dipersetujui bersama,” ujarnya lagi.

Semalam, Azmin menghadiri mesyuarat khas Biro Politik PKR di Parlimen sekali gus mengadakan pertemuan dengan Anwar.

Susulan mesyuarat itu, Azmin akan merasmikan kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR manakala Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan merasmikan penutup kedua-dua sayap parti itu.