Malaysia Dateline

Ahmad Faedzal bawa dimensi baharu dalam ISN

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli mahu membawa dimensi baharu dalam melaksanakan peranan utama dalam bidang sains sukan dan sains perubatan sukan.

Beliau berkata ISN juga sedia bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) yang kini  mengendalikan Program Podium dari segi penyediaan atlet untuk menghadapi temasya Sukan SEA di Manila hujung tahun ini serta Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“Peranan ISN kembali seperti dahulu di mana ISN memberi perkhidmatan sains sukan, sains perubatan sukan dan khidmat kepakaran analisis seperti analisis prestasi.

“ISN dan MSN akan berkolaborasi dengan baik untuk pastikan atlet-atlet kita bersedia khususnya untuk Sukan SEA akan datang dan Sukan Olimpik 2020 dengan sasaran meraih pingat emas pertama negara di temasya berkenaan. Kita akan kukuhkan kerjasama dengan MSN demi matlamat itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Lembaga ISN  hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faedzal berkata tumpuan kepada pengurusan serta pentadbiran institut dalam   usaha mewujudkan suasana kerja yang harmoni dalam kalangan pegawai dan petugas di ISN demi kelangsungan atlet yang merupakan klien utama institut berkenaan.

Katanya, beliau yakin tenaga kerja tempatan yang terlibat dengan Program Podium sebelum ini yang diserap kembali ke dalam ISN mampu untuk melaksanakan misi dan visi ISN dalam pembangunan sains sukan, sains perubatan sukan serta sukan negara.

“Ketika Program Podium di bawah ISN, banyak tenaga dari luar negara dan ia memberi kebaikan kepada saintis sukan tempatan mempelajari sesuatu daripada mereka.

“Saya yakin pakar tempatan telah belajar daripada tenaga luar dan pengalaman tiga tahun bekerjasama dalam Program Podium dapat membantu pelaksanaan tugas berikutnya,” katanya.

Menurut Ahmad Faedzal, ketika ini hanya tujuh tenaga luar masih bertugas di ISN berbanding 35 petugas sebelum ini.

Sementara itu, Ahmad Faedzal berkata pada tahun ini, melalui pelaksanaan model baharu, ISN menjangkakan dapat menjana pendapatan antara RM15 juta hingga RM20 juta menerusi perkhidmatan yang diberikan kepada atlet negara dan beberapa perkhidmatan yang dikomersilkan.- BERNAMA