Ahmad Faizal mulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak hari ini

Ahmad Faizal mulakan tugas sebagai Menteri Besar  Perak hari ini

Ahmad Faizal Azumu hari ini memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perak yang baharu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Ketibaan Ahmad Faizal berpakaian sut hitam dan bertali leher merah pada 8 pagi disambut pegawai dan kakitangan pejabat Menteri Besar.

Turut mengiringi beliau adalah Pegawai Kewangan Negeri yang menanggung kerja Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Ghazali Jalal serta barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH Perak itu kemudiannya mendengar taklimat daripada Ghazali mengenai pejabat menteri besar.

Ahmad Faizal, 48, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang menggantikan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM mendapat 29 daripada 59 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional 27 dan Pas (tiga).

Keputusan itu menyaksikan tiada mana-mana parti mendapat majoriti mudah 30 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, namun kemelut tersebut berakhir Sabtu lepas selepas dua Adun BN memilih untuk menyertai PH sekali gus membolehkan pakatan itu mendapat 31 kerusi.