Malaysia Dateline

Ahmad Husam rasa berdosa ada keluarga Islam makan berlaukkan sup siput babi

Penceramah, Ustaz Ahmad Husam Datuk Baderudin bercerita bagaimana melihat depan matanya sendiri sebuah keluarga Islam makan nasi berlaukkan sup siput babi.

Peristiwa pada tahun 2014 itu katanya, melibatkan sebuah keluarga yang tinggal tidak jauh dari kediamannya.

“Sebab itu dari kejadian tersebut, saya rasa sangat bersalah dan berdosa,” ujar Yang Dipertua Yayasan Ar-Riyaadah tersebut.

Sehubungan itu, katanya, Allah hendak melihat bagaimana hamba-Nya mengendalikan ujian dengan sebaik mungkin.

“Insha-Allah, saya berjanji dengan diri sendiri selagi mana hidup, saya akan cuba bantu sedaya upaya kepada mereka yang memerlukan…

“Segala nikmat yang Allah pinjamkan kepada kita, kita pulangkan sedikit untuk dirasai bersama,” kata Yang Dipertua Yayasan Ar-Riyaadah itu.

Dia berkata pihaknya kelmarin dapat menyampaikan sedikit sumbangan keperluan dapur kepada puluhan keluarga yang memerlukan.

“Ada seorang mak cik apabila saya sampaikan sumbangan tersebut, tersebak dia menerimanya sambil memandang wajah saya sambil berkaca matanya dengan air mata.

“Petang tersebut (28 Januari), saya menerima WhatsApp daripada anak mak cik tersebut yang menyatakan keperitan hidup mereka,” katanya di Facebook miliknya diakhiri nombor akaun bank.