Ahmad Johari, penyokong berbaju tradisi Melayu ziarah rumah Najib

Kereta BMW berwarna hitam dipercayai dinaiki adik lelaki kepada Datuk Seri Najib Razak tiba di rumah bekas perdana menteri itu di Taman Duta, Kuala Lumpur kira-kira jam 11.30 pagi hari ini.

Lapor Malay Mail, antara individu yang berada dalam kereta itu menurut pengawal keselamatan ialah Datuk Ahmad Johari Razak, anak kedua daripada lima anak kepada Tun Abdul Razak Hussein.

Selain itu, kediaman bekas Pengerusi BN itu juga didatangi empat anggota Umno yang dilihat berpakaian tradisional Melayu.

Mereka bagaimanapun enggan memberikan nama apabila didekati pemberita sebaliknya hanya mengatakan ingin mengucapkan terima kasih kepada Najib sepanjang berkhidmat sebagai perdana menteri.

“Beliau banyak beri sumbangan kepada negara, terutamanya dalam bidang seni, kami datang ke sini untuk mengucapkan terima kasih kepadanya,” kata salah seorang daripada mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, isteri Najib iaitu Datin Seri Rosmah Mansor diperintah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hadir ke ibu pejabat agensi itu di Putrajaya pada Selasa ini.

Arahan itu dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat pelaburan sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kelmarin, pegawai SPRM menyerahkan surat perintah itu di kediaman pasangan suami isteri berkenaan di Jalan Langgak Duta jam 4 petang.

Dilaporkan beberapa pegawai SPRM meninggalkan rumah tersebut dengan membawa sebuah beg yang tidak diketahui kandungannya kira-kira jam 5.30 petang.

CATEGORIES
TAGS