Malaysia Dateline

Ahmad Lutfi Othman dinobatkan Tokoh Aktivis Pena AMANAH

Penulis buku Revolusi Tanpa Darah, Ahmad Lutfi Othman dinobatkan sebagai Tokoh Aktivis Pena Parti Amanah Negara (AMANAH) sempena Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan, Sabtu lalu.

Mengakui terkejut dengan anugerah berkenaan kerana hampir lima tahun tidak menulis, Ahmad Lutfi berharap setiap wartawan atau penulis akan berlumba-lumba untuk menghasilkan laporan bercirikan penyiasatan, analisis dan tulisan yang berkualiti.

Ahmad Lutfi turut mengingatkan para pengamal media agar tidak berkompromi mengenai fakta, sumber dan kesahihan maklumat yang diperolehi serta mengelak daripada fitnah dan adu domba.

“Pastikan dunia kewartawanan kita bebas daripada sebarang kongkongan, tekanan dan akta drakonian. Beranilah untuk menegur dan mendedahkan salah guna kuasa termasuk di pihak kerajaan itu sendiri.

“Media bebas bukanlah seteru kerajaan, ia bermanfaat besar untuk semua pihak dan dapat mengelakkan negara daripada terhumban dalam skandal mega seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sebagainya.

“Rakyat juga mestilah prihatin dan sensitif terhadap kepentingan media bebas ini. Mereka mesti menuntut dan memperjuangkannya agar media terus bebas serta berwibawa walau siapa pun yang menjadi kerajaan,” katanya secara eksklusif kepada Malaysia Dateline, baru-baru ini.

Ditanya adakah beliau akan terus berkarya dengan penulisan-penulisan yang meninggalkan kesan kepada pembaca, Ahmad Lutfi memberitahu beliau akan terus berkecimpung dalam dunia penulisan selagi mempunyai kudrat.

“InsyaAllah selagi ada kudrat, saya akan terus menulis khususnya buku-buku politik dan artikel isu-isu semasa dalam portal berita Malaysia Dateline dan akhbar Mingguan Amanah.

“Banyak isu besar yang memerlukan lebih penjelasan kerana timbul kekeliruan dan salah anggap daripada rakyat.

“Saya kira dalam beberapa hal, perang persepsi pada ketika ini bagaikan didominasi oleh pembangkang, iaitu Umno dan Pas. Kita sewajarnya menawarkan pencerahan yang tepat dan menyeluruh,” ujar Ahmad Lutfi yang juga merupakan Penasihat Dateline Media Group (DMG) Sdn Bhd.

Susulan anugerah yang diterimanya daripada Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar pada konvensyen kali keempat itu, Ahmad Lutfi menzahirkan ucapan terima kasih di atas penghargaan yang disifatkannya sebagai cukup bermakna.

“Alhamdulillah rasa terkejut pun ada kerana sudah hampir lima tahun saya tidak aktif lagi menulis. Saya juga hampir tidak aktif langsung dengan aktiviti, khususnya berkaitan kewartawanan bebas.

“Terima kasih di atas penghargaan yang cukup bermakna ini. Anugerah tersebut mendorong saya untuk terus berkarya walaupun dengan skala yang kecil dan terbatas,” katanya lagi.

Selain daripada Tokoh Aktivis Pena, AMANAH Wilayah Persekutuan turut menyampaikan anugerah Tokoh Aktivis Orang Kurang Upaya (OKU), Tokoh Aktivis AMANAH, Tokoh Aktivis Politik & Budaya serta Tokoh Khas Jasamu Dikenang.

Konvensyen yang diadakan di Dewan Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) itu dirasmikan oleh Mahfuz Omar yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia.