Malaysia Dateline

Ahmad Maslan yakin kemelut ‘Langkah Perak’ selesai hari ini

Kemelut ‘Langkah Perak’ yang tercetus sejak 4 Disember lalu dijangka bakal berakhir hari ini susulan pertemuan ketiga-tiga Presiden Umno, Pas dan Bersatu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kesemua pemimpin terbabit pada masa ini sedang berbincang isu berkaitan pembentukan kerajaan baharu Perak dan Menteri Besar ke-14.

Mereka ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bersatu.

“Pada saat dan ketika ini, Presiden Umno, Pas dan Bersatu sedang berbincang, …berbincang (bagi) menyelesaikan (kemelut politik di Perak). Saya yakin krisis di Perak selesai hari ini.

“Hari ini selesai, 99.9 peratus selesai,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi perbincangan antara tiga pemimpin terbabit berlangsung.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mengandungi 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah.

Sehingga petang semalam, tiada parti politik yang mempunyai majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak sekali gus gagal meyakinkan Sultan Nazrin untuk melantik Menteri Besar ke-14.