Ahmad Razif lega,syukur spekulasi terjawab

Ahmad Razif lega,syukur spekulasi terjawab

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahmad Razif Abd Rahman mengucapkan terima kasih atas kepercayaan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepadanya bagi meneruskan tugas sebagai Menteri Besar Terengganu.

Selain percaya apa yang berlaku mempunyai hikmah dan pengajaran, Ahmad Razif berkata, beliau bersyukur kerana segala spekulasi dan tanggapan yang ada sepanjang minggu lalu kini terjawab dan mengajak semua kepimpinan negeri terus bergerak dan bekerja untuk rakyat.

“Saya bersyukur ke hadrat Ilahi di atas segala nikmat dan kurnia-Nya yang diberikan serta berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas kepercayaan beliau yang diberikan kepada saya serta komitmen yang diberikan oleh beliau dalam menyelesaikan isu yang melanda negeri ini sejak minggu lalu.

“Segala spekulasi serta tanggapan yang dibuat sepanjang minggu lalu telah pun terjawab melalui pengumuman yang dibuat Perdana Menteri.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua kepimpinan negeri Terengganu untuk terus bergerak ke hadapan dan berjuang untuk negeri dan rakyat demi kesejahteraan semua,” katanya lapor Sinarharian online.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan Ahmad Razif Abd Rahman kekal sebagai Menteri Besar Terengganu dan akan terus berkhidmat seperti biasa.

Menurut Najib, dalam pertemuannya dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu, kata sepakat telah dicapai agar Ahmad Razif kekal dengan jawatan yang disandangnya itu.

“Saya menghadap Sultan Mizan berhubung isu kedudukan menteri besar Terengganu, dan hasil kesimpulan pertemuan ini, kami mencapai kata sepakat untuk meneruskan Ahmad Raziff sebagai menteri besar.

“Saya harap selepas ini tiada lagi timbul sebarang persoalan dan andaian mengenai kedudukan beliau,” kata Najib dipetik Astro Awani.

Pada 22 April lalu Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.

TAGS