Malaysia Dateline

Ahmad Said hanya serang saja tanpa fakta, kata Duyung Marina Resort

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyerang pengambilan 33 pekerja baru oleh Duyung Marina Resort (DMR) tanpa fakta yang cukup dan mahu menunjukkan pengurusan hotel milik kerajaan negeri itu tidak pandai mengurus.

Pengurus Besar DMR, Wan Faizul Abas dalam jawapannya kepada Ahmad berkata, mungkin tujuannya nak menunjukkan betapa pengurusan DMR tidak pandai mengurus dan melibatkan kos yang tinggi.

Menerusi tulisan dalam “Nota dari meja GM” yang dibuatnya, Wan Faizul yang juga Pengerusi Tetap Pemuda Pas Terengganu itu mengesahkan bahawa angka penambahan pekerja yang disebut Adun Kijal dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu itu tepat.

Namun, Wan Faizul menjelaskan, pengambilan pekerja baru itu dibuat apabila beliau menubuhkan Jabatan Lanskap baru untuk hotel itu dengan mengambil pekerja baru dan menghentikan kerja-kerja lanskapnya yang diberikan secara kontrak kepada pihak luar sebelum ini.

“Untuk makluman, saya sangat tidak berpuashati dengan syarikat terbabit kerana tidak menjalankan tugas dengan baik.

“Pernah kakitangannya membakar sampah di banyak tempat dalam resort termasuk di tepi chalet.

“Satu lagi, syarikat tersebut bukan pakar dalam landskap tapi hanya kontraktor memotong rumput di LPT2.

“Dengan tertubuhnya Jabatan Landskap, DMR dapat menjimatkan sebanyak RM86 ribu setahun,” jelas Wan Faizul.

Sebelum ini, Ahamd yang juga Pengerusi Umno Terengganu itu mendedahkan, DMR telah menambah 33 kakitangan baru ketika semua hotel di dunia menghadapi masalah ekoran Covid-19 samada ditutup atau pekerja dikurangkan.

Antara perlantikan baru yang dibuat adalah Ketua Pegawai Syariah yang bergaji RM12,000 sebulan.