Malaysia Dateline

Ahmad Saiful lepas, bebas tuduhan salah guna dadah

Anak Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang dikenakan Mahkamah Majistret terhadap Ahmad Saiful, 33, selepas membenarkan rayuan dikemukakan perayu, lapor BH.

Pada 2 Julai 2020, Ahmad Saiful Islam memfailkan rayuan terhadap keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun tahun sama yang mensabitkannya atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara lapan bulan.

Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful Islam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan anak bekas Menteri Pertahanan itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pada 13 Jun tahun lalu, Ahmad Saiful Islam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dakwaan menggunakan dadah THC, di sebuah hotel di ibu negara pada jam 2.05 pagi 5 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.