Ahmad Termizi mahu guna darah pahlawannya selamatkan negara

Ahmad Termizi mahu guna darah pahlawannya selamatkan negara

Dr Ahmad Termizi tidak akan sesekali mengabaikan orang asal khususnya dari suku Temiar jika dipilih menjadi ahli Parlimen.- Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari W. Salleh

Calon Parti Amanah Negara (Amanah) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar Dr Ahmad Termizi Ramli akan menggunakan darah pahlawan yang mengalir dalam badan untuk menyelamatkan negara.

Bahkan, katanya, beliau akan memperjuangkan nasib Orang Asal di negara ini kerana darah itu juga ada mengalir dalam tubuhnya.

Dr Termizi bukan setakat keturunan pahlawan Melayu, Datuk Maharajalela dan Daeng Selili bahkan juga ada darah dari suku Temiar, salah satu suku kaum Orang Asal di negara ini.

Justeru beliau tidak akan sesekali mengabaikan orang asal khususnya dari suku Temiar jika dipilih menjadi ahli Parlimen di kawasan itu.

“Selain Datuk Seri Maharaja Lela, Daeng Selili dan sebagainya saya juga daripada suku Temiar.

“Datuk saya yang datang ke Kepala Bendang berkahwin dengan Anjang Lata. Anjang Lata anak kepada Pak Awe. Jadi takkan saya nak biarkan (Orang Asal).

“Saya ada hubungan darah dengan mereka. Saya akan kata saya daripada suku kome bila jumpa mereka,” kata beliau yang dilahirkan di Kampung Suak Petai, Manong, Kuala Kangsar.

Kuala Kangsar mengandungi 64 perkampungan Orang Asal antaranya Kampung Orang Asli Bukit Cermin.

Sebelum ini, Ahmad Termizi juga memberitahu beliau mempunyai pertalian darah dengan Daeng Selili, seorang pembesar Kesultanan Perak.

Selain itu beliau juga keturunan ke enam daripada Datuk  Maharaja Lela yang menentang Residen British J.W.W. Birch yang menindas orang Melayu ketika itu.

Justeru Ahmad Termizi berkata beliau akan menggunakan darah panglawan dalam dirinya untuk menyelamatkan negara.

Ahmad Termizi, 61, pernah menjadi Dekan Fakulti Fizik, UTM di samping Ahli Senat universiti yang terkenal dengan teknologi itu.

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)