Malaysia Dateline

Ahmad Zahid 15 kali ‘meratib’ Umno ketika akar umbi desak lepas jawatan

Ketika akar umbi menuntut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno, Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan tampil bersuara malam ini.

Walau dalam coretan hanya sembilan perenggan, Ahmad Zahid menulis sehingga 15 kali nama parti yang menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Ahmad Zahid menjadi Presiden Umno dalam sejarah parti itu yang buat pertama kali tidak mendapat tempat di dalam barisan Kabinet.

Kemelut pimpinan tertinggi Umno dilihat berlarutan tanpa penyelesaian terutama kalangan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ahli Parlimen sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Perhimpunan Agung Umno 2018.

Ahmad Zahid juga antara pimpinan Umno yang berdepan pendakwaan jenayah. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menghadapi 40 pertuduhan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) dengan perbicaraan bermula 12 April nanti.

Dia yang juga Pengasas Yayasan Akalbudi turut dihadapkan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana yayasan itu.

Berikut tulisan penuh Ahmad Zahid berkenaan Umno menerusi Facebook miliknya malam ini:

“UMNO bukan parti tidak sedar diri. UMNO bukan parti lemah. UMNO tahu apa yang sepatutnya UMNO tahu.

“UMNO tahu suatu ketika ia pernah tewas angkara fitnah dan pembohongan.

“UMNO cekal pada kebenaran. UMNO terus menegakkan kebenaran.

“Dan kebenaran itu lebih berhak untuk diikuti” (والحق أحق أن يتبع)

“Dengan itu juga UMNO sama sekali tidak ‘surrender’. UMNO tidak tunduk, dibuli atau dibeli.

“UMNO berusaha bangkit dan InsyaAllah kebangkitan UMNO sedang berlaku.

“UMNO bangkit dalam diam penuh hikmah. UMNO bangkit tanpa melukut di tepi gantang.

“Bertawakal pada Tuhan – UMNO tahu apa yang patut dilakukan. Pisang tidak berbuah dua kali.

“UMNO tetap mara. Dengan izinNya lambang kita yang gagah akan terus dipandang mulia dan indah.”