Ahmad Zahid jamin rawatan terbaik untuk Anwar

Ahmad Zahid jamin rawatan terbaik untuk Anwar

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi jaminan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi masalah kesihatan di Penjara Sungai Buloh, Selangor, diberikan rawatan yang terbaik.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah yang memenuhi permintaan Anwar dan keluarganya berhubung perkara itu.

Datuk Ser Dri Ahmad Zahid Hamidi

“Saya ingin menyatakan bahawa rawatan yang terbaik daripada doktor pakar yang sesuai dan ‘post operation’ atau rawatan pasca pembedahan akan diberikan kepada beliau dan kita tentunya mendoakan agar selepas rawatan ini beliau akan segera sembuh.

“Kita berharap pegawai-pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dapat memberikan rawatan yang terbaik dan pasca rawatan yang terbaik juga,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi Kementerian Dalam Negeri, di Dewan Rakyat hari ini.

Jawapan Ahmad Zahid itu disambut baik oleh Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), yang juga anak kepada Anwar, yang mencelah penggulungan itu dengan mengucapkan terima kasih dan turut memohon jaminan keselamatan terhadap banduan di penjara susulan kemalangan jalan raya yang menimpa Anwar baru-baru ini.

Mengenai kemalangan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata siasatan sedang dilakukan dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang berkenaan sekiranya kejadian itu didapati disengajakan.

Semalam satu sidang media diadakan di rumah keluarga Anwar yang memaklumkan Anwar akan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan pada 12 November ini untuk merawat kecederaan di bahu kanan yang semakin teruk kesan kemalangan melibatkan kenderaan Jabatan Penjara pada 22 September lalu.

Baca: Keluarga mahu tiada campur tangan politik ketika Anwar terima rawatan, pembedahan

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS