Walaupun huru hara, Aidilfitri ini paling bermakna buat rakyat Malaysia

Oleh KIM SYAZIE

Lain macam betul penangan Aidilfitri tahun ini, tak tidur malam kita dibuatnya dek kelam kabut membuat persiapan saat akhir bagi menyambut kedatangan lebaran.

Dah masuk hari kedua, rakyat Malaysia masih tidak lepaskan peluang berkunjung ke rumah sanak saudara dan jiran tetangga yang sudah bertahun tidak dapat berkumpul bersama.

Bunyi mercun dan bunga api yang saling berbalas juga benar-benar memberi perasaan bahawa inilah mood raya yang kita rindukan selama dua tahun ini. Ya, inilah raya paling bermakna buat rakyat Malaysia.

Kami menyenaraikan mengapa raya kali ini paling bermakna buat rakyat Malaysia berdasarkan perkongsian orang ramai di media-media sosial.

1. Teruja dapat bawa keluarga beli belah di bazar raya

Mana tidaknya tahun ini kan semua dah boleh merentas negeri dan beraya tanpa sekatan lagi. Terujalah semua bawa ahli keluarga mencari kelengkapan raya di bazar-bazar. Nak raya sakan katanya.

2. Raya tahun ni semua nak all-out, baju pun sampai 3 pasang!

Jangan tak tahu, ada yang dah rancang percutian raya mereka dari hari pertama sampai ke tiga. Bersungguh nak dapatkan baju sedondon dengan ahli keluarga yang lain. Apa-apa pun selagi tidak membazir tak mengapa, lain hari masih boleh gunakan baju raya ini.

3. Berkumpul semula adik beradik yang jauh & bersua muka dengan ibu bapa

Ini yang ditunggu-tunggu. Momenmenunggu adik beradik pulang itu yang paling seronok. Macam macam aktiviti kita rancang nak buat bersama. Paling seronok dapat berjumpa secara depan-depan, boleh salam raya dengan orang tua kita dan kembalikan semula tradisi biasa kita buat iaitu sesi bagi duit raya!

4. Dapat jamah lauk raya bersama keluarga

Lauk raya air tangan mak paling tak boleh lupa. Apabila dua tahun berjauhan dengan keluarga dan tak dapat merasa lauk raya mak, rasa tak lengkap sangat. Kali ini semua orang boleh lepaskan rasa rindu mereka dengan bergotong royong sediakan juadah raya.

5. Boleh buat rumah terbuka dan berjumpa semula dengan kawan lama

Seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, mereka memutudkan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepanjang kusim perayaan dengan membenarkan acara rumah terbuka dilakukan. SOP dah makin longgar, kita juga dibenarkan bersalaman sesama kita. Ini satu berita yang menggembirakan buat rakyat Malaysia.