Malaysia Dateline

Aiman Athirah bidas dakwaan PH sokong penyebaran berita palsu

Ahli Dewan Negara, Senator Aiman Athirah Al Jundi tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan beberapa pihak dari blok pembangkang berhubung pemansuhan Rang Undang-undang Berita Tidak Benar selepas akta berkenaan diluluskan di Dewan Negara semalam.

Beliau berkata, dakwaan Pakatan Harapan (PH) menyokong penyebaran berita palsu adalah tidak tepat oleh kerana RUU berkenaan jelas memperuntukkan hukuman yang bersifat draconian.

Malah katanya, pihak yang membangkang dengan alasan nama akta tersebut ‘cukup cantik’, seharusnya menumpukan kepada isi kandungan peruntukan dan bukannya semata-mata berdasarkan nama.

“kita perlu faham perbezaan antara menentang berita palsu dengan menyokong pemansuhan RUU yang memperuntukkan hukuman yang menekan, melampau dan bersifat draconian.

“Namun itu sama sekali tidak bermakna kita menyokong penyebaran berita palsu. Ia masih boleh ditangani dengan undang-undang lain termasuklah Kanun Keseksaan.

“Terdapat YB Senator yang berhujah bahawa kita tidak sepatutnya memansuhkan RUU ini kerana nama Akta ini sendiri iaitu ‘Akta Anti Berita Tidak Benar’ adalah nama yang cukup cantik.

“Untuk ini, saya ingin mengingatkan bahawa kita sekarang berada di Dewan Yang Mulia iaitu Dewan Negara. Tumpuan kita dan penilaian kita bukan hanya pada nama, tetapi pada intinya dan nilai,” katanya dalam kemaskini Facebooknya semalam.

Beliau turut mengulas tentang hujahan yang menyebut tentang beberapa negara yang telah melaksanakan undang-undang berita tidak benar, seperti negara di German, Singapura dan Filipina

Namun katanya, Akta Anti-Berita Tidak Benar (AATB) 2018 di Malaysia adalah longgar dan berpeluang untuk disalahguna, berbanding dengan undang-undang negara luar yang menjelaskan definisi berita palsu dengan lebih terperinci.

“Di German dan Filipina, definisi palsu lebih jelas dan terperinci. Sebaliknya, AATB 2018 kita sangat longgar sehingga salah guna boleh terjadi bila-bila masa sahaja berlaku.

“Ketiga, AATB 2018 memperuntukkan hukuman yang sangat berat melampaui kewajaran dan keadilan.

“Keempat, merujuk kepada apa yang disebut oleh Senator Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang telah panjang lebar membangkitkan tentang pelan Israel memecahbelahkan umat Islam.

“Untuk ini, saya juga mahu tegaskan bahawa saya tidak akan pernah lupa yang Perunding Media Bekas Perdana Menteri sebelum ini adalah Yahudi, yang kini sedang berlindung di negara haram Israel,” tegasnya.