Malaysia Dateline

Aiman Athirah mahu kenyataan tegas KPN diiringi tindakan drastik

Ahli Dewan Negara, Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah, meminta supaya kenyataan tegas Ketua Polis Negara, Datuk Abdul Hamid Bador terhadap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diiringi dengan tindakan drastik terhadap pegawai kanan polis yang disyaki terlibat.
Katanya, kenyataan tegas kepada PDRM supaya menjauhi sebarang hubungan dengan sindiket jenayah termasuk rasuah, tidak boleh hanya berhenti selepas diucapkan tetapi perlu diselaraskan dengan tindakan drastik.
“Saya percaya ketegasan seperti ini amat didambakan oleh rakyat Malaysia pada era Malaysia Baharu, selepas maruah negara tercalar dahsyat akibat skandal 1MDB sehingga Malaysia dikaitkan dengan kleptokrasi.
“Selaku pegawai tertinggi polis, saya yakin Datuk Abdul Hamid mempunyai pengalaman yang luas dan mendalam mengenai selok belok jenayah dan hubungkait dengan tokoh-tokoh penting dalam negara ini.
“Melalui pendedahan berani ini, sudah pasti harapan rakyat untuk melihat sebuah negara yang sifar rasuah, sifar penyalahgunaan kuasa dan sekaligus berkeadilan akan tercapai,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Kehormat Majlis Senator Malaysia, berkata, kenyataan tegas itu perlu diberi pujian dan sokongan oleh sekalian rakyat Malaysia.
Katanya, hal ini akan mengukuhkan lagi keyakinan serta harapan rakyat yang mahu melihat integriti sebagai teras utama dalam institusi kepolisan negara.