Malaysia Dateline

Aiman Athirah sumbang gaji sebulan bantu keperluan petugas kesihatan

Selepas bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan untuk mendermakan sebulan gajinya ekoran ancaman Covid-19, hari ini seorang Ahli Dewan Negara turut memutuskan untuk melakukan hal yang sama.

Menurut pegawai kewangan di pejabat AWAN, Senator Aiman Athirah Al Jundi membuat keputusan berkenaan bagi membantu penyediaan beberapa keperluan pasukan barisan hadapan negara.

Pegawai tersebut, Rozita Abdul berkata, Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) itu juga telah menggerakkan sukarelawan AWAN Peduli iaitu AWAN Special Task Force for Covid-19 (ASTFC19).

“Task Force ini bagi menggerakkan pelbagai tugas dan kerja-kerja membantu penyediaan beberapa keperluan petugas kesihatan merangkumi penutup muka, topeng muka dan baju hujan sebagai ‘back-up’ menampung kekurangan PPE,” kata Rozita.

Dalam pada itu, memetik muatnaik Facebook Aiman semalam, beliau meluahkan rasa simpati mengenangkan pejuang barisan hadapan termasuk hero yang tidak didendang dan rakyat kebanyakan yang terkesan

“Apakah kita memilih hanya untuk terus duduk sahaja tanpa usaha membantu dalam ruang yang kita masih boleh ikhtiarkan?”, tulisnya.

Sementara itu, Aiman yang juga Ketua Penerangan Wanita PH itu turut berharap agar pakej ransangan ekonomi yang diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bernilai RM20 bilion dapat diteruskan oleh kerajaan yang baharu.

Rozita juga berkata, Aiman merayu kepada mana-mana pihak syarikat swasta atau korporat yang ingin membantu menyalurkan sumbangan untuk berhubung dengan pegawainya di talian 019-731 3662 (Rozita Abdul).

Rozita menjelaskan bahawa ini adalah inisiatif yang diambil oleh Ketua AWAN Nasional sebagai satu contoh dan kepedulian yang baik dan murni dan harus diteladani oleh semua.

Rozita yang juga Bendahari AWAN Nasional turut berharap agar semua kepimpinan Wanita AMANAH di semua peringkat turut mengambil langkah yang sama dalam usaha menggerakkan bantuan kepada pihak-pihak yang memerlukan.