Aiman gariskan lima agenda untuk Semenyih

Aiman gariskan lima agenda untuk Semenyih

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Muhammad Aiman Zainali malam ini menggariskan lima agenda perubahan yang akan diperjuangkannya untuk penduduk Semenyih sekiranya menang Sabtu ini.

Agenda ‘Aiman4Semenyih’ itu antaranya  menggariskan inisiatif “Semenyih Terhubung” sebagai agenda pertamanya bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas termasuk bas ‘Smart Selangor’ dan menaik taraf terminal bas dan teksi di Semenyih.

Selain itu, Muhammad Aiman turut menjanjikan inisiatif kesihatan “Semenyih Sihat” bagi menaik taraf klinik kesihatan dan mewujudkan ‘Smart Semenyih Mobile Clinic’ agar dapat memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada penduduk Semenyih.

Turut tersenarai adalah inisiatif keselamatan iaitu “Semenyih Selamat” dalam memperkukuhkan peranan ikatan desa bagi memastikan keselamatan kampung dan taman perumahan, supaya kadar jenayah domestik dapat diturunkan.

Dua lagi agenda adalah “Semenyih Maju” untuk memastikan pembangunan ekonomi di Semenyih dan Selangor memberi manfaat terus kepada rakyat Semenyih, serta “Semenyih Lestari”  bagi memelihara dan memulihara ekosistem Semenyih sebagai kawasan hutan simpan tadahan air dan meningkatkan potensi eco-pelancongan Selangor.

Muhammad Aiman berkata lima agenda itu telah dirangka berdasarkan kehendak, cita rasa dan keperluan penduduk Semenyih, sama ada di bandar ataupun luar bandar.

Tambahnya semua agenda tersebut juga telah dibincangkan dengan Kerajaan Negeri Selangor dan beliau yakin mampu melaksanakan agenda tersebut dalam penggal ini.

“Ini adalah sebahagian daripada harapan rakyat Semenyih dan saya juga berbincang dengan kerajaan negeri untuk bekerjasama bagi melaksanakan dalam penggal ini.

“Saya juga difahamkan agenda ini juga selari dengan belanjawan dan polisi kerajaan Selangor,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran agenda itu di sini.

Pelancaran itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

PRK Dun Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

Pengundian Dun Semenyih akan diadakan Sabtu ini. Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

— BERNAMA