Pelajar tingkatan 5 Ain Husniza yang pernah menimbulkan kontroversi dengan isu lawak seksual oleh seorang guru hari ini telah menerima notis tuntutan ganti rugi sebanyak RM1 juta.
Perkara itu dimaklumkan oleh bapanya Saiful Nizam di Facebook di mana mereka telah menerima notis tuntutan sekitar jam 2.00 petang tadi.
“Notis ini ditujukan kepada Ain Husniza, saya sendiri dan isteri. Terdapat lima tuntutan dan salah satunya bayaran ganti rugi RM1 juta.
“Kami menerima surat tuntutan daripada Tetuan Rasshidi Ema & Yung,” katanya.
Bagaimanapun, Saiful berkata pihaknya tidak akan memberi sebarang respons setakat ini atas nasihat peguam.
Menurutnya, notis tuntutan ini adalah dari cikgu PJPK sekolah lama Ain Husniza.
Pada 24 April lalu, Ain memuat naik satu video di TikTok, di mana dia mendakwa seorang guru lelaki telah membuat jenaka mengenai rogol semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan ketika para pelajar membincangkan gangguan seksual
Ini termasuk guru tersebut memberitahu pelajar lelaki di kelas “nanti korang nak rogol, jangan rogol yang bawah 18, korang rogol yang atas 18.”
Sejak isu ini menjadi tumpuan, Ain tidak ke sekolah kerana dia berasa tidak selamat selepas tiada tindakan diambil ke atas cikgu tersebut.