Susulan tersebar desas desus mengatakan Aina Abdul menerima bayaran termahal untuk persembahannya, penyanyi itu berkata dia mempunyai alasan tersendiri untuk harga yang diletakkan.
Menurutnya, bayaran yang diterima adalah setimpal mengambil kira pasukan kerjanya yang sangat ‘perfectionist’ untuk menyiapkan seorang Aina Abdul.
Persiapan tersebut merangkumi banyak perkara termasuk busana, solekan, jurufoto dan lain-lain.
“Seorang Aina Abdul kalau keluar, persiapannya mengambil masa berjam-jam, disiapkan rapi oleh pasukan yang sangat perfectionist.
“Yang menyiapkan saya bukan sahaja dari sudut pakaian, tapi juga mikrofon, juruvideo, jurufoto dan semuanya, the whole package,” katanya ketika sidang media pengumuman 30 buah lagu yang layak ke Separuh Muzik-Muzik 38 (SFMM38) kelmarin.
Pada masa sama, pelantun lagu Terus Hidup itu berkata, harga yang diletakkan bukan untuknya seorang, sebaliknya untuk semua pasukan yang bekerja keras menjayakan setiap kemunculannya di sesuatu acara
“Jadi, nak membawa saya ke satu acara memakan kos dan saya beritahu pasukan saya, kerja yang dilakukan ini periuk nasi bersama.
“Harga itu bukan untuk saya seorang, untuk semua pasukan yang menyiapkan saya. Berkongsi rezeki bersama, jadi saya rasa ia setimpal,” ujarnya.
Terdahulu, seorang individu yang dipercayai rakan kepada penganjur sebuah acara di Melaka mendakwa Aina menerima bayaran paling mahal berbanding beberapa artis lain yang turut diundang.
Bagaimanapun tidak dipastikan berapakah jumlah bayarannya.