Malaysia Dateline

Air dari Perak: P Pinang sudah tunggu sejak 2011

Pulau Pinang telah menanti Kerajaan Persekutuan melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) bagi Pulau Pinang dan Perak sejak 2011 bagi.

JASENI

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

Jelas beliau lagi, perkongsian air antara negeri-negeri mungkin bermula dengan Kerajaan Persekutuan melaksanakan SPRWTS bagi Pulau Pinang dan Perak.

“Pulau Pinang ddan PBAPP menyokong sepenuhnya rancangan Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk negeri-negeri yang mempunyai air berlebihan untuk berkongsi air dengan negeri-negeri yang mempunyai air berlebihan untuk berkongsi air dengan negeri-negeri yang menghadapi kekurangan air.

“Sebenarnya ia bukan suatu pendekatan yang baharu kerana skim penyaluran air mentah berskala besar seperti skim Johor-Melaka dan Pahang-Selangor sudah pun beroperasi.

“Walau bagaimana pun kita mengalu-alukan campurtangan kementerian untuk mempercepatkan SPRWTS, ” tegasnya.

Menurut Jaseni lagi, pada tahun 2011 Pulau Pinang dan PBAPP mencadangkan SPRWTS sebagai penyelesaian air mentah untuk Pulau Pinang dan Perak sehingga tahun 2050, namun begitu sehingga kini skim tersebut belum pun dilaksanakan.

Malah ujarnya, ketika Pulau Pinang beralih ke inisiatif Penstrukturan Semula Perkhidmatan Air Nasional(NWSR) pada tahun 2011, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memikul tanggungjawab bagi skim sumber air mentah untuk Pulau Pinang.

“Pulau Pinang telah pun bersedia membeli air mentah daripada Perak menerusi SPRWTS, sebaliknya sehingga 18 Februari 2020, Perak berkeras untuk menjual air terawat kepada Pulau Pinang.

“Malangnya niat Perak untuk menjual air bersih tidak selaras dengan rasional SPRWTS, sepertimana yang telah dicadangkan iaitu penyelesaian air mentah.

“Sebetulnya semua projek utama penyaluran air antara negeri-negeri adalah skim air mentah sepertimana dalam kes skim Johor-Melaka dan Pahang-Selangor ddan bukannya skim air terawat kerana beberapa alasan tertentu, ” tegas Jaseni lagi.

Beliau juga berkata SPRWTS adalah penyelesaian bekalan air mentah yang kritikal untuk masa depan Pulau Pinang serta ‘Kajian Pelan Induk Bekalan Air Minum di Pulau Pinang hingga tahun 2050’ menjangkakan bahawa Sungai Muda mampu menjadi sumber air mentah utama Pulau Pinang hanya sehingga 2025 sahaja.

Sehubungan itu tambahnya, masa semakin suntuk bagi Pulau Pinang dan berkemungkinan menjelang 2025, Pulau Pinang berisiko tinggi menghadapi krisis bekalan air, kecuali jika ia meneroka sumber air mentah penting kedua.

Ia juga berkata, sehingga tahun 2020, air mentah berlebihan dari Sungai Perak mengalir ke laut dan lebihan air mentah ini boleh dipam dan dijual kepada Pulau Pinang dengan harga yang berpatutan dan pelaksanaan SPRWTS yang tepat pada masanya juga akan

memberi manfaat kepada Perak dengan cara lain iaitu memastikan keselamatan bekalan air di Perak Utara sehingga 2050.