Malaysia Dateline

Air di Kelantan: Bukan tak faham YB, kami tak tahan dah

Rakyat Kelantan bukan tidak faham dengan isu air yang terpaksa mereka hadapi di negeri itu tetapi mereka sudah tidak tahan lagi.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan berkata, masalah air sudah dihadapi sejak sekian lama oleh rakyat Kelantan dan mereka memahaminya dengan baik isu ini.

“Apa yang berlaku adalah rakyat sudah tidak tahan bukan tidak faham,” katanya ketika membuat satu posting yang berupa wawancara beliau dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah.

Menurut Hazmi, sejak kira-kira 30 tahun dahulu lagi Pas mempersalahkan tindakan Umno menyekat projek Bekalan Air Kelantan Utara (Baku) yang bernilai RM60 juta selepas Pas memerintah Kelantan sebagai punca masalah air di Kelantan.

“Tetapi setelah setahun lebih Pas menjadi kerajaan, nampaknya masalah air tidak selesai,” katanya.

Kata beliau yang lebih dikenali sebagai Jeming, Umno sudah tidak ada dalam kerajaan Kelantan dan Pas juga sudah berada dalam kerajaan Pusat bersama Umno dan Bersatu.

“Yang kita nampak kerajaan negeri dapat tukar Mercedes, dapat naik gaji, dapat bagi bonus. Tetapi air tetap bermasalah,” kata beliau.

Sekarang ini, katanya, rakyat ingin tahu bagaimana kerajaan negeri menyelesaikan isu air ini kerana Menteri yang menjaga hal ehwal juga timbalan presiden Pas dan juga ahli Parlimen Kubang Kerian dari Kelantan.

Dahulu, kata beliau, ramai yang kata isu air adalah isu politik dan tidak ramai yang berani bercakap mengenainya.

Sekarang ini, katanya, rakyat sudah tolak ia adalah isu politik. Pengarah Hospital Kota Bharu juga bercakap isu air ini.

“Ada rakyat susah nak mandi dengan sempurna, nak ambil air sembahyang susah dan ada yang menangis setiap kali membasuh pakaian sekolah anaknya, yang putih menjadi coklat selepas dibasuh dek kerana air Kelantan,” kata Jeming.