Isu air yang tidak berkesudahan di Kelantan.
Minggu lalu viral pula kisah seorang pemuda yang kecewa kerana sudah empat minggu terputus bekalan air ke rumahnya di Taman Harian Kota Bharu.
Bukan dia seorang terkesan malah seluruh penduduk sekitar terkesan, Saudara Hanif terpaksa membawa masalah air ke media sosial ekoran aduannya ke pelbagai pihak berwajib tidak mendapat sebarang respon yang diharapkan.
Beliau membuat aduan ke AKSB, SPAN, ke Facebook ADUN Tanjong Mas YB Kak Ani, Fb Ahli Parlimen Kota Bharu YB Datuk Takiuddin Hassan dan akhirnya ke Fb Menteri KASA, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bayangkan sudah empat minggu terputus bekalan air; bukan setakat menyukarkan urusan harian, malah sebahagian penduduk terpaksa berjaga malam untuk mencuba mendapatkan bekalan air dengan kaedah memancing air menggunakan pam air.
Hasilnya hampa kerana sememangnya tiada air yang dapat dibekalkan AKSB. Ada pengusaha kedai makan yang terpaksa membawa pinggan mangkuk dan periuk belanga ke tempat lain untuk di basuh kerana ketiadaan air di premis mereka. Begitulah sengsaranya kehidupan akibat masalah air.
Akhbar Utusan melaporkan lapan jajahan terkesan dengan gangguan bekalan air. Ini bermakna lapan daripada sepuluh jajahan terkesan. 80 % rakyat Kelantan merasai keperitan hidup tanpa bekalan air yang bersih dalam kehidupan.
Air karat dan keruh memang masalah yang sinonim dengan air yang dibekalkan kerajaan negeri. Namun yang lebih parah adalah ketiadaan air dan terputusnya bekalan yang begitu memeritkan warga Kelantan.
Bagi rakyat yang sudah lama menderita dengan masalah air, mereka sudah tidak mahu mendengar apa-apa lagi alasan dari pihak yang bertanggungjawab terhadap pengurusan prasarana di negeri Kelantan ini.
Paling menjengkelkan adalah sikap segelintir pihak yang cuba meremehkan isu air ini sambil memberikan alasan yang tak masuk dek akal seolah-olah kesusahan rakyat selama ini tidak ada ertinya bagi mereka.
Kebanyakan rakyat juga bijak berfikir dan bertimbang rasa. Kalau tidak masakan mereka boleh bersabar lebih 30 tahun dengan situasi bekalan air bersih yang begitu kritikal di Kelantan.
Justeru inisiatif kerajaan melaksanakan Pelan Induk Air Kelantan 2021 bagi mengatasi krisis itu amat dialu-alukan dan mereka sanggup menunggu dengan sabar sementara menunggu pelan itu selesai dalam tempoh lima tahun. Sekurang-kurangnya tempoh 5 tahun dan 10 tahun lebih baik daripada angka 40 tahun yang pernah disebutkan Menteri.
Sementara itu apa yang rakyat mahukan adalah pembelaan dan penjagaan kebajikan rakyat daripada pimpinan kerajaan negeri terhadap keperluan asas mereka, air sebagai sumber kehidupan yang sudah mencapai tahap krisis hari ini.
Justeru Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Negeri Kelantan mendesak pihak berkuasa Negeri benar-benar menjaga kebajikan rakyat berhubung dengan isu air yang merupakan perkara asas untuk kehidupan rakyat di negeri ini.
Ini bermakna sekiranya terdapat gangguan bekalan air AKSB mesti
Memaklumkan kepada pengguna akan gangguan ini bagi memberikan masa yang secukupnya untuk mereka membuat persediaan.
Menyediakan bekalan air alternatif dengan menghantar lori air dengan hos yang sesuai agar terus dapat disalurkan ke tangki air pengguna.
Cadangan ini nampak begitu sederhana dan logical namun perkara asas inilah yang sebenarnya masih tidak mendapat perhatian pihak berkuasa kerajaan. Rakyat menuntut kerajaan menjalankan tanggungjawab mereka.
Penulis merupakan Ketua Awan Negeri Kelantan